
CINTA ditolak dipercayai menjadi punca suspek berusia 14 tahun berasa marah dan kecewa sebelum bertindak menikam pelajar Tingkatan 4 hingga maut dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Memetik laporan China Press, seorang pelajar yang menyaksikan kejadian itu berkata, suspek dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa pada malam sebelum serangan.
Namun remaja perempuan berusia 16 tahun itu dikatakan menolak cintanya kerana tidak mempunyai perasaan sama.
BACA LAGI: Pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam pelajar lelaki 14 tahun di PJ
BACA LAGI: KPM tubuh jawatankuasa khas siasat kes murid maut ditikam di sekolah di Bandar Utama
Suspek dipercayai menikam mangsa berulang kali hingga maut. — Gambar hiasan/ Janaan AI
Saksi itu berkata, suspek yang bersenjatakan beberapa objek tajam dipercayai pisau mengekori mangsa ke tandas perempuan sebelum menyerangnya dalam salah satu kubikel.
“Dia memegang pisau dan menahan mangsa sebagai tebusan di dalam tandas. Kemudian dia mula menikam mangsa berulang kali,” dakwanya.
Mangsa sebelum itu juga dipercayai melarikan diri daripada suspek dan bertindak mengurungkan diri dalam salah sebuah kubikel tandas.
Menurut saksi, rakan mangsa yang berada berhampiran terus berlari mendapatkan bantuan guru disiplin.
“Guru berkenaan bergegas ke tandas dan cuba menendang pintu kubikel itu. Selepas beberapa kali percubaan, dia berjaya membukanya.
"Namun, pelajar lelaki itu sempat melarikan diri dan mula mengejar pelajar lain sambil memegang pisau,” katanya.
Suasana di SMK Bandar Utama Damansara (4) kecoh pada Selasa selepas kejadian seorang pelajar Tingkatan 4 maut ditikam. — The Star
Saksi itu menambah, suasana menjadi panik apabila suspek berlari masuk ke beberapa kelas Tingkatan Satu sambil masih memegang senjata yang berlumuran darah.
“Dia berlari masuk ke dalam kelas dan semua orang mula menjerit serta berlari keluar. Baju dia penuh darah,” katanya lagi.
Kekecohan hanya berakhir selepas abang suspek bersama beberapa guru berjaya menahan dan merampas pisau berkenaan.
“Abangnya bergelut dengannya sebelum berjaya merampas pisau. Guru-guru pula cuba menenangkannya,” tambah saksi itu.
Lokasi sekolah menengah terbabit yang terletak di Bandar Utama. — Google Street
Menurut saksi, dia dimaklumkan bahawa suspek berang selepas cintanya ditolak oleh mangsa.
“Kami dengar dia luah perasaan kepada mangsa malam sebelum dan marah apabila mangsa tak memiliki perasaan sama,” katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan turut menjurus ke arah motif tersebut.
Bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan, termasuk bagi mengenal pasti motif sebenar serangan.
"Saya akan maklumkan perkembangan seterusnya apabila hasil siasatan diperoleh,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram