'Jangan sesekali mangsakan orang lain', hukuman rotan bukan penyelesaian hakiki, ibu bapa teman terbaik anak remaja


  • Bonda
  • Ahad, 12 Okt 2025

Penjelasan Dr. Kamilin (gambar kecil) tentang peranan ibu bapa dalam mendidik anak remaja tentang isu seksualiti. — Gambar hiasan

ISU-ISU gangguan seksual membabitkan remaja di negara ini sememangnya menjadi perhatian dan mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Tidak kurang juga ramai yang mendesak agar hukuman tegas seperti merotan kembali dilakukan oleh guru sebagai usaha mendisiplinkan pelajar.

Namun, menurut pendakwah dan pensyarah, Dr. Kamilin Jamilin, gesaan tersebut mencerminkan satu kealpaan besar masyarakat terhadap tanggungjawab yang lebih utama iaitu peranan ibu bapa.

BACA LAGI: Jayakan misi ‘jiran prihatin’, program SGHA 2025 bersama McDonald’s Malaysia rai penghuni istimewa Taman Megah

BACA LAGI: Konsep Amae faktor utama kanak-kanak Jepun berani ke sekolah sendiri, membesar dengan yakin

Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai teman rapat untuk mendengar luahan peribadi anak remaja. — Gambar hiasan

Berdasarkan coretannya di Facebook baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kegagalan memahami dan membimbing naluri seksual anak remaja berkemungkinan besar menjadi antara faktor utama perkara tersebut berlaku.

Katanya, isu berkenaan bukanlah berkaitan dengan sistem pendidikan semata.

"Apabila berlaku masalah, jari akan ditudingkan kepada sekolah atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Tetapi bila anak-anak cemerlang dapat semua 'A', sebab ibu ayah ada amalan rahsia.

"Kadang-kadang kita terlepas pandang, apabila anak-anak memasuki alam remaja (selepas baligh), cabaran terbesar mereka terutamanya bagi remaja lelaki adalah naluri seksual.

"Secara fitrah, mereka akan mula bermimpi 'basah' dan hormon kelakian mula membiak yang mendorong keinginan nafsu mereka," jelasnya.

Dr. Kamilin turut mendedahkan bahawa perbincangan seksual yang dianggap tabu mampu mendorong remaja mendapatkan pendidikan daripada sumber internet tanpa sebarang tapisan.

Ia sekali gus akan membuka ruang kepada pembentukan nafsu yang tidak terkawal dan kerosakan pemikiran secara berpanjangan.

"Semakin banyak mereka terdedah dengan pornografi, semakin banyak titik hitam yang bertapak dalam minda dan hati mereka.

"Percaya atau tidak, majoriti remaja lelaki realitinya sudah terdedah kepada pornografi.

"Ya, mereka takkan mendedahkan perihal itu secara terbuka kepada sesiapa kecuali rakan-rakan yang berkongsi keterujaan yang sama dan kebetulan sedang membesar bersama," kongsinya.

Beliau justeru mengingatkan para ibu bapa untuk sentiasa menjadi 'teman rapat' kepada anak, mendidik serta berbincang dengan terbuka tentang isu-isu sedemikian.

Tambahnya, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mendengar luahan atau cerita peribadi anak remaja.

"Posisikan diri kita sebagai teman rapat dan dipercayai anak-anak, kerana ketika ini kawanlah yang paling penting dalam hidup mereka.

"Dedahkan mereka tentang senario-senario yang bakal mereka hadapi dalam dunia baharu dan akibat daripada segala tindakan.

"Berikan mereka kekuatan dan bimbing untuk hadapi gelombang mencabar yang mereka akan hadapi sampai ke usia tua.

"Paling penting, ingatkan mereka, terdesak macamana sekalipun, jangan sesekali mangsakan orang lain," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram