
FENOMENA akil baligh pramatang atau lebih dikenali sebagai precocious puberty kini dilihat semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak khususnya perempuan.
Mengulas lanjut, pakar kesihatan wanita dan kanak-kanak, Dr. Hannani Kamarudin mendedahkan bahawa pemakaian produk kosmetik boleh menjadi antara faktor utama perkara itu berlaku.
Justeru, beliau memberi peringatan tegas kepada ibu bapa agar tidak mendedahkan anak perempuan yang belum akil baligh kepada produk kosmetik atau penjagaan diri.
BACA LAGI: Konsep Amae faktor utama kanak-kanak Jepun berani ke sekolah sendiri, membesar dengan yakin
Menurutnya, penggunaan gincu, deodoran, minyak wangi dan produk lain yang mengandungi bahan kimia mampu menyumbang kepada gangguan hormon.
Ia secara tidak langsung cenderung mempercepatkan proses akil baligh sebelum waktunya.
"Jika anak perempuan seawal umur 6 tahun sudah menunjukkan tanda seperti pertumbuhan payudara atau datang haid seawal umur 8 atau 9 tahun, itu adalah sesuatu yang tidak normal dan berisiko.
"Ini dikenali sebagai precocious puberty dan ia boleh mendatangkan kesan kesihatan jangka panjang termasuk risiko kanser," katanya.
Beliau turut menasihatkan para ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memilih produk yang digunakan oleh anak-anak, terutama yang masih kecil.
Jelasnya, anak perempuan tidak seharusnya mengalami hadi sebelum usia 9 tahun.
Ibu bapa pada masa sama disarankan untuk membaca label bahan dalam setiap produk yang digunakan oleh anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram