
PROGRAM subsidi bersasar di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula secara berperingkat sejak 27 September lalu sudah hampir sebulan dilaksanakan.
Ramai mula berkongsi pengalaman masing-masing menggunakan subsidi dengan siling bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Di Threads, ada yang mengeluh kerana berasakan kuota 300 liter yang diperuntukkan tidak mencukupi buat masa ini.
BACA LAGI: Belanjawan 2026: Ada 'buah tangan' buat pekerja swasta, gig dan pembayar cukai
Sebahagian tangkap layar penggunaan kuota BUDI95 yang dikongsikan pengguna Threads. — Gambar hiasan
"Saya punya baru 10hb kuota tinggal 31 peratus saja lagi. Minggu depan cuti umum Deepavali, nak balik kampung confirm habis terus," keluh Izzul.
Dia menunjukkan tangkap layar BUDI95 yang berbaki kira-kira 94.13 liter daripada keseluruhan 300 liter dengan nilai RM57.42.
Situasi lebih 'parah' buat seorang pengguna Threads, @rafiq_fikri52 apabila kuota BUDI95 tinggal kosong dengan baki sifar dipaparkan pada tangkap layar skrin.
"Aku punya dah habis dah," katanya.
"Mana yang dah habis tu isi saja RM2.60 seliter (harga RON95 tanpa subsidi)," komen @nauful.
Harga RM2.60 merupakan harga semasa yang ditetapkan selama sebulan bermula 30 September sebelum diapungkan mengikut pasaran global.
Bagi syfqirwnsh_ pula, kegunaan BUDI95 masih berbaki kira-kira 78 peratus atau 234.6 liter daripada 300 liter peruntukan yang diberikan.
Dia berpendapat, kemungkinan BUDI95 miliknya akan berbaki lagi 20 hingga 30 peratus menjelang hujung bulan.
Dengan jangkaan itu, dia berasakan tindakan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi ketika ini amat tepat.
"Aku rasa apa yang kerajaan buat memang bagus, boleh kenal pasti individu selayaknya," katanya.
"Alhamdulillah objektif subsidi tercapai," kata seorang lagi pengguna Faizul Mustafa.
Program BUDI95 yang dilaksanakan kerajaan bertujuan menyalurkan bantuan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan had penggunaan 300 liter sebulan bagi setiap individu layak.
Kuota 300 liter bulanan tidak boleh dikongsikan atau dipindahkan kepada orang lain.
Jika penggunaan petrol melebihi 300 liter sebulan, jumlah lebihannya akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi (RM2.60 seliter). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram