
MALAYSIA bakal menjadi tumpuan rantau ini apabila Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
Acara berprestij tersebut akan menghimpunkan Menteri-Menteri Tenaga ASEAN, pegawai kanan serta lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia untuk merangka strategi tenaga serantau yang lebih selamat, mampan dan inklusif.
Edisi kali ini akan diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pimpinan menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
BACA LAGI: Miliki 3 kekuatan utama, PM Anwar buktikan mampu capai usaha diplomasi redakan konflik Thai-Kemboja
BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata
Pelancaran beberapa dokumen strategik bakal meletakkan ASEAN pada landasan lebih kukuh untuk meningkatkan integrasi tenaga rentas sempadan. — Gambar hiasan/ Agensi
Tahun ini, AMEM dilihat lebih signifikan berbanding edisi-edisi sebelumnya kerana ia berlangsung ketika dunia sedang berdepan cabaran tenaga global dan tekanan untuk mempercepatkan peralihan kepada sumber lebih bersih dan lestari.
Sidang ini bukan sekadar pertemuan tahunan, sebaliknya platform utama bagi negara anggota ASEAN memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mempercepatkan integrasi pasaran tenaga melalui Grid Tenaga ASEAN (APG).
Keputusan yang dicapai akan memastikan rakyat di seluruh ASEAN menikmati tenaga yang stabil, mampu milik dan mesra alam, di samping membuka peluang ekonomi baharu serta menyokong aspirasi rantau ini menuju sifar bersih.
Dokumen strategik jadi rujukan utama
Salah satu sorotan utama AMEM 2025 ialah pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 serta Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu.
Kedua-dua dokumen tersebut akan menjadi kompas utama bagi rantau ini dalam tempoh sedekad akan datang dengan Malaysia memainkan peranan penting menyatukan persetujuan negara anggota.
Langkah tersebut meletakkan ASEAN pada landasan lebih kukuh untuk meningkatkan integrasi tenaga rentas sempadan, memperluas tenaga bersih, mengoptimumkan sumber tenaga boleh baharu bagi manfaat negara-negara anggota.
Perdagangan elektrik rentas sempadan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan tenaga. — Gambar hiasan/ Agensi
Kehadiran global dan rangkaian kerjasama
Selain negara anggota ASEAN dan Timor Leste sebagai pemerhati, AMEM turut disertai oleh rakan dialog utama seperti China, Jepun, Korea, India, Australia dan Amerika Syarikat.
Organisasi antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) juga bakal menyertai persidangan.
Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan AMEM sebagai forum tenaga serantau, tetapi juga membuktikan bahawa agenda tenaga ASEAN kini mendapat perhatian global.
Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, hasil konkrit yang diharapkan daripada AMEM antara lain adalah memuktamadkan pelaksanaan MoU grid tenaga ASEAN.
Katanya, ia perlu dibuat bukan sekadar di peringkat dasar, tetapi turut melibatkan aspek perundangan dan teknikal bagi mempercepat penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh rantau.
Beliau berkata, selain keselamatan makanan, keselamatan tenaga kini dianggap keutamaan serantau, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh grid tenaga elektrik ASEAN melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang membolehkan tenaga disalurkan antara negara anggota.
Azmi Hassan berkata, hasil konkrit yang diharapkan daripada AMEM antara lain adalah memuktamadkan pelaksanaan MoU grid tenaga ASEAN.
“Contoh jelas pendekatan ini dapat dilihat di Sarawak, yang kini memiliki kapasiti tenaga elektrik berlebihan hasil pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti empangan hidro dan solar.
“Tenaga ini bukan sahaja digunakan dalam negeri, malah telah disalurkan ke Kalimantan, Indonesia dan Brunei,” katanya kepada Majoriti.
Melalui pelaksanaan grid tenaga ASEAN, Azmi berkata, lebihan tenaga daripada Sarawak dijangka boleh disalurkan ke negara-negara jiran lain yang memerlukan, sekali gus membantu menstabilkan bekalan dan mengurangkan kos elektrik kepada pengguna di rantau ini.
“Saya pasti menerusi mesyuarat AMEM ini dapat membincangkan secara terperinci kerana MOU dan persefahaman sudah ada, tinggal lagi untuk memuktamadkan bagaimana ia boleh disalurkan daripada negara ASEAN ke negara ASEAN lain,” katanya.
Pada masa sama, mesyuarat tenaga ASEAN yang turut melibatkan Jepun dan China akan menumpukan kepada kerjasama dalam pembangunan tenaga bersih dan infrastruktur hijau, menjadikan Sarawak berpotensi sebagai ‘bateri hijau ASEAN’.
Antara sorotan acara empat hari itu termasuk:
- Pelancaran dokumen strategik APAEC 2026–2030,
- Pemeteraian MoU Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA),
- Dialog Menteri–Ketua Pegawai Eksekutif,
- Anugerah Tenaga ASEAN,
- Mesyuarat berkaitan seperti SOME+3 dan Mesyuarat Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM).
Bagi Malaysia, penganjuran AMEM ke-43 bukan sahaja mengukuhkan reputasi sebagai peneraju serantau dalam peralihan tenaga, malah menjadi peluang untuk mempamerkan komitmen negara dalam membentuk masa depan tenaga yang lebih hijau, berdaya saing dan saksama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram