
SEORANG lelaki menarik perhatian ramai apabila tabungan duit syilingnya mencecah RM400 apabila ditukar di mesin deposit sebuah bank di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Pengguna Threads itu, Rudzaimie Nordin membawa dua bekas berisi syiling pelbagai sen sebelum memasukkannya ke dalam mesin deposit berkenaan.
Kiraan syiling berkenaan dibuat dengan pantas dengan jumlah terkumpul boleh dilihat terus menerusi paparan di skrin mesin layan diri.
BACA LAGI: Daripada serabut jadi rezeki, 3 tempat boleh jual baju 'preloved'
Rudzaimie terus meletakkan baki tabungan dengan syiling 50 sen terakhir dimasukkan ke dalam slot mesin.
Kiraan terakhir menunjukkan jumlah terkumpul sebanyak RM405.85.
Berdasarkan arahan langkah demi langkah pada mesin layan diri itu, anda perlu memasukkan nombor akaun terlebih dahulu sebelum memasukkan syiling.
Pastikan duit syiling tidak bercampur dengan syiling dobi, objek tajam dan benda asing serta syiling mata wang asing (foreign currency).
"Tolong ya semua... kalua korang ada syiling juga, asingkan elok-elok dulu macam yang saya buat. Kebanyakan tempat (mesin deposit syiling) rosak sebab ramai yang campur bukan-bukan," katanya.
Anda kemudian boleh mengesahkan amaun deposit dan mencetak resit.
Ada juga sesetengah mesin yang memerlukan pelanggan mengambil resit berbentuk syiling baucar dan menyerahkannya ke kaunter.
Selepas itu,amaun akan dimasukkan ke dalam akaun bank dan anda boleh menyemak di aplikasi perbankan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram