Seramai 4,000 pesara kontrak KEMAS nikmati kenaikan bantuan sara hidup RM500 sebulan


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Bantuan Sara Hidup pesara kontrak KEMAS dinaikkan kepada RM500 sebulan. — Gambar hiasan

 

 

BERITA gembira buat pesara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup bulanan mereka daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

“Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup bagi 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan,” katanya.

BACA LAGI: Tambah CCTV antara inisiatif kerajaan atasi masalah buli secara total

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Singapura trauma, pencuci warga asing di JB bertindak agresif hanya kerana tolak servis ‘water wax’

Datuk Seri Anwar Ibrahim. Facebook/anwaribrahim

Langkah tersebut dijangka memberi kelegaan kepada golongan pesara KEMAS yang telah lama menyumbang dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dan komuniti luar bandar di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia, kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas RM500 kepada hampir 120,000 penerima dengan peruntukan RM60 juta.

Anwar berkata, langkah itu turut disusuli usaha kerajaan mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang sudah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat disebabkan kekangan struktur perjawatan.

Katanya, kerajaan bersetuju untuk memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Melalui peluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun tertakluk kepada gred jawatan semasa.

"Ia juga termasuk menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang, akan diberikan insentif khas bersamaan dengan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan pada gred semasa, yang akan dibayar secara bulanan," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi menggalakkan penjawat awam meningkatkan kelayakan akademik, kerajaan akan menyediakan Elaun Sara Hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa mulai 2026.

Jelas beliau, jumlah penerima HLP itu juga akan ditingkatkan kepada 150 orang setahun berbanding 100 orang sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram