KERAJAAN akan menyalurkan sebanyak RM2.62 bilion pada tahun depan bagi pelaksanaan pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada pesawah.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus meningkatkan kesejahteraan pesawah serta memastikan sektor pertanian negara kekal mampan dan berdaya saing.
Bantuan tersebut meliputi beberapa komponen utama termasuk subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih serta insentif pengeluaran padi, yang kesemuanya bertujuan menampung kos pengeluaran dan menjamin pendapatan pesawah.
BACA LAGI: Belanjawan MADANI 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion, terap ilmu digital AI
BACA LAGI: Belanjawan MADANI 2026: Subsidi bersasar, rakyat masih nikmati RON95 RM1.99 seliter
"Kerajaan Madani membela nasib para pesawah dengan menyediakan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah.
"Bermula tahun ini, Kerajaan Madani menaikkan kadar insentif pembajakan dan insentif racun masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, kerajaan juga memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian Padi RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.
Menurutnya, dianggarkan setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim.
Manakala, elaun sara nelayan pula diberikan sehingga RM300 sebulan dengan insentif hasil tangkapan pula diberikan dengan peruntukan RM160 juta.
"Dalam masa sama kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.
"Kerajaan juga menyediakan RM20 juta supaya nelayan menaik taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan tekong dan kru asing," jelasnya.
Tambah beliau, mereka dapat menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari.
Dalam pada itu, sebanyak RM55 juta disediakan bagi menyokong pengusaha buah-buahan tempatan, antaranya insentif tanaman dan prasarana ladang nanas termasuk di Sarawak selain tanaman buah lain durian belanda, jambu air dan limau besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
