Belanjawan MADANI 2026: Subsidi bersasar, rakyat masih nikmati RON95 RM1.99 seliter


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Belanjawan kali ini merupakan yang keempat dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

PELAKSANAAN subsidi bersasar oleh kerajaan dijangka menjimatkan dana negara sebanyak RM15.5 bilion setahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat. 

Beliau berkata, penjimatan itu membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada inisiatif kebajikan rakyat, bantuan kos sara hidup serta membangunkan prasarana awam yang lebih berkualiti.

BACA LAGI: Caruman sukarela KWSP lebih tinggi dengan insentif cukai jadi 'top wish' Belanjawan 2026

BACA LAGI: INTERAKTIF: Dari biru cerulean hingga pink, ini warna baju Melayu pilihan pembentang belanjawan sejak 1998

“Semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi. Namun, ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.

“Memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan syarikat besar. Kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat,” katanya. 

Menurut Anwar, kerajaan juga berjaya memperolehi penjimatan subsidi sebanyak masing-masing RM1 bilion menerusi pengapungan harga ayam dan harga telur.

Selain itu, penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik secara purata memberi penjimatan sebanyak RM6 bilion.

Menurut beliau, sebanyak 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif dan ada yang menikmati penurunan bil.

Selain itu katanya, penyasaran subsidi diesel berjaya memberi penjimatan sebanyak RM5 bilion.

“Malah, sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi. RM200 sebulan diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil,” katanya lagi.

Manakala pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 berpotensi menjimatkan dana negara sekurang-kurangnya RM2.5 bilion.

Katanya, rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah iaitu RM1.99.

“Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada harga RM2.99 seliter. Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif,” ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram