Hampir 6,000 anak keluarga miskin dapat pendidikan percuma PTPTN


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Inisiatif itu dilaksanakan melalui PTPTN dengan peruntukan tahunan sebanyak RM120 juta.

KERAJAAN akan menyediakan pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan peruntukan tahunan sebanyak RM120 juta bagi memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif untuk golongan berpendapatan rendah.

Dalam masa sama, kerajaan turut bersetuju untuk mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

BACA LAGI: Belanjawan MADANI 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion, terap ilmu digital AI

BACA LAGI: Insentif pesawah naik RM510 sempena Belanjawan Madani 2026

Anwar menjelaskan, langkah itu dijangka memanfaatkan sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan tambahan RM90 juta setahun.

“PTPTN lahir dari iltizam mengeluarkan anak bangsa dari kancah kemiskinan melalui pendidikan. Sejak penubuhan, PTPTN telah membuka jalan kepada jutaan mahasiswa menjejak kaki ke menara ilmu dan mengubah nasib keluarga,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik.

Sementara itu, beliau mengumumkan penambahan 1,500 tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) serta bahasa.

Menurut Menteri Kewangan itu, ia bagi memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.

Selain itu beliau menambah, kerajaan pada tahun depan akan melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya Health Metropolis.

"Selain untuk tujuan pembelajaran anak-anak, ini juga meningkatkan capaian kemudahan kesihatan moden untuk manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram