Segak berbaju Melayu rona biru, beg rekaan anak muda OKU lengkapkan gaya PM Anwar pada Belanjawan 2026


  • Gaya
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Anwar mengenakan baju Melayu biru lembut lengkap dengan samping songket dan beg kitar semula buatan anak muda OKU ketika hadir ke Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2026. — Instagram/@anwaribrahim_my

SUDAH menjadi kelaziman setiap Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah meninggalkan tradisi menyarungkan persalinan baju Melayu.

Sehubungan itu, pada pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia Madani di Dewan Rakyat yang berlangsung hari sama turut menyaksikan beliau mengekalkan gaya menjadi identiti sejak awal pentadbiran.

Anwar tampil segak dengan baju Melayu rona kegemarannya biru lembut yang digayakan bersama songkok Johor.

BACA LAGI: RM1.26 bilion perkasa kebajikan warga emas, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 bakal lancar November ini

BACA LAGI: Murid sekolah kerajaan, murid OKU bakal terima bantuan awal persekolahan RM150, pihak sekolah akan serah kepada ibu bapa

Busana itu dilengkapi butang baju Melayu Pahang, kain samping buatan daripada Penjara Marang, Terengganu dan sepasang capal rekaan Jago Kepala Batas.

Lebih menarik, turut melengkapi penampilannya ialah beg Belanjawan 2026 yang dibawa ke Dewan Rakyat, hasil perusahaan sosial Heart Treasures dan Tanoti.

Menurut beliau, beg tersebut dibuat menggunakan bahan kitar semula, hasil kerja tangan seorang anak muda orang kelainan upaya (OKU) yang aktif dalam bidang kraf, Anthony Liew You Chung.

"Beg Belanjawan 2026 yang saya bawa hari ini dihasilkan perusahaan sosial Heart Treasures dan Tanoti menggunakan bahan kitar semula sarung tangan nitril dan fabrik terbuang.

"Beg ini hasil kerja tangan Anthony Liew You Chung, seorang anak muda OKU.

"Kerajaan mendukung peranan perusahaan sosial yang membantu rakyat, terutama golongan rentan diakar umbi 86 menambah pendapatan," katanya dalam ucapan beliau.

Untuk rekod, pembentangan Belanjawan MADANI 2024 menyaksikan Menteri Kewangan itu mengenakan baju Melayu berwarna ungu muda manakala rona kelabu lembut pada Belanjawan 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram