MOF beri jaminan, baki subsidi tak terpakai akan dikembalikan


  • Massa
  • Selasa, 07 Okt 2025

Terdapat pengguna yang keliru berhubung kesan terhadap kuota tidak digunakan selepas pengisian mencecah had tangki kenderaan.

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) pada Selasa memberi jaminan baki kuota subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak akan hilang sekiranya pengguna tidak menggunakan jumlah penuh ketika mengisi minyak.

Ini kerana ramai pengguna keliru mengenai baki subsidi bulanan jika tidak digunakan.

"Tidak perlu risau jika terdapat baki yang tidak digunakan sepenuhnya selepas anda mengisi minyak, baki tersebut akan dimasukkan semula secara automatik ke dalam BUDI95 anda. Jangan lupa semak rekod transaksi di portal BUDI95," katanya dalam hantaran di laman sosialnya.

BACA LAGI: Sejarah transaksi isi minyak boleh disemak di portal BUDI95 — MOF

BACA LAGI: MOF tambah baik sistem SARA, kini 15,000 transaksi setiap minit

Sebagai contoh, jika pengguna membuat transaksi pembelian untuk 15 liter minyak RON95, namun tangki kenderaan sudah penuh ketika mencapai 10 liter, baki lima liter itu akan dikembalikan.

Penjelasan itu menepis kebimbangan segelintir penerima bantuan yang menyangka baki subsidi akan hangus sekiranya tidak digunakan sepenuhnya ketika mengisi minyak.

Pengguna turut diingatkan agar menyemak rekod transaksi masing-masing melalui portal rasmi BUDI95 bagi memastikan semua kemas kini dan baki subsidi direkodkan dengan betul.

BUDI95 merupakan inisiatif subsidi petrol RON95 bersasar yang diperkenalkan kerajaan bermula 30 September yang membenarkan rakyat tempatan layak membeli bahan bakar itu pada harga RM1.99.

Ketetapan itu adalah lebih rendah berbanding kadar tidak bersubsidi iaitu RM2.60 seliter yang perlu dibayar pengguna jalan raya dalam golongan luar negara dan tidak memegang lesen memandu sah.

Tiada proses pendaftaran khusus diperlukan, sistem akan mengenal pasti kelayakan melalui MyKad dan data agensi kerajaan berkaitan dengan setiap individu layak menerima kuota maksimum 300 liter sebulan untuk menikmati harga subsidi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram