
SEORANG bekas anggota bomba berusia 60 tahun di Sainte-Rose, di utara kepulauan Guadeloupe sanggup merompak sebuah pasar raya baru-baru ini semata-mata untuk dimasukkan ke penjara demi membantu cucunya yang sedang meringkuk di dalam tahanan.
Lelaki terbabit yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini masuk ke sebuah pasar raya berhampiran balai polis tempatan dengan memakai penutup muka balaclava dan memegang sepucuk pistol.
Warga emas berkenaan kemudian mengarahkan juruwang menyerahkan semua wang dalam laci kaunter sebelum sempat pula mengambil sekeping keju Emmental dan sebotol wain di pasar raya itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Keluarga mohon maaf, wanita curi gula-gula Halloween di Kanada rupanya pesakit mental
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya kerana bertaruh RM23, remaja India hilang lepas terjun Sungai Yamuna
Dalam insiden pada hujung September lepas, lelaki berkenaan difahamkan berjalan perlahan-lahan ke arah keretanya, seolah-olah menunggu untuk ditangkap pihak berkuasa.
Menurut laporan AFP, lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana mahu dipenjarakan supaya dapat bertemu cucunya yang dikatakan menjadi mangsa penderaan seksual oleh banduan lain.
"Dia tidak berminat dengan wang. Dia hanya mahu masuk ke penjara untuk melihat cucunya dan sekurang-kurangnya dapat berjalan bersamanya,” kata peguamnya, Lea Le Chevillier yang dilantik oleh mahkamah.
Peguam itu mendedahkan bahawa lelaki itu sebelum ini sempat berjumpa cucunya di bilik lawatan dan mendapati remaja berkenaan mengalami kecederaan gigi akibat didera oleh tahanan lain.
Lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
Lelaki itu kemudian didakwa atas kesalahan rompakan bersenjata, serangan berat dan melawan pihak berkuasa, namun mahkamah mengambil kira keadaannya yang luar biasa serta motif sebenar di sebalik tindakan tersebut.
Hakim memutuskan bahawa perbuatan itu berpunca daripada keputusasaan dan lelaki berkenaan tidak wajar dijatuhi hukuman penjara berat tiga hingga lima tahun seperti kes-kes seumpamanya.
Sebaliknya, mahkamah mengarahkan lelaki itu membayar pampasan kepada mangsa rompakan, menjalani rawatan psikologi serta dilarang mengunjungi semula pusat beli-belah yang dirompaknya.
Lelaki tersebut turut dibenarkan untuk melawat cucunya secara sah tanpa perlu menjadi banduan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram