Tertukar sejak lahir, 2 wanita Austria bertemu semula lepas 35 tahun, pihak hospital kesal, mohon maaf


  • Bonda
  • Khamis, 09 Okt 2025

Doris (kanan) dan Jessica dilahirkan pramatang sebelum tertukar secara tidak sengaja dan dibesarkan oleh keluarga berbeza selama 35 tahun. — Agensi

DUA wanita Austria yang tertukar sejak lahir di sebuah hospital di bandar selatan Graz akhirnya bertemu selepas 35 tahun.

Menurut laporan agensi, Doris Grunwald dan Jessica Baumgartner dilahirkan di hospital LKH-Uniklinikum Graz pada Oktober 1990.

Kedua-duanya dilahirkan pramatang dan tidak lama selepas itu secara tidak sengaja mereka tertukar lalu diserahkan kepada keluarga yang berbeza.

BACA LAGI: Ada sedang mekap, baca kamus bahasa Korea, macam-macam ragam penumpang waktu pagi, rasa selamat dalam koc khas wanita

BACA LAGI: 'Tak sangka setahap itu dia benci saya', momen 'pahit' kembar tak 'ngam' rai hari jadi, syukur adik-beradik lain, sepupu reda suasana

Jessica (tiga dari kiri) dan Doris (tiga dari kanan) bersama ibu bapa kandung masing-masing. — Agensi

Pada 2012, Doris mengetahui bahawa beliau bukan anak kandung kepada pasangan yang membesarkannya, Evelin dan Josef Grunwald selepas menderma darah.

Ketika itu, beliau menyedari kumpulan darahnya tidak sepadan dengan ibu beliau.

Kes tersebut pernah dilaporkan oleh penyiar awam Austria, ORF pada 2016, namun ketika itu keluarga satu lagi masih belum ditemui.

Jessica pula dibesarkan tidak jauh dari situ oleh Herbert dan Monika Derler.

Beliau mengetahui kumpulan darahnya juga tidak sepadan dengan ibu bapanya ketika mengandung sebelum seorang doktor memaklumkan mengenai kes bayi tertukar tersebut.

Selepas itu, Jessica menghubungi Doris melalui Facebook dan mereka akhirnya bertemu.

Jessica berkata, pertemuan itu seperti bertemu seorang adik-beradik.

"Kami terus serasi. Ia perasaan yang sukar digambarkan dan sangat menyenangkan," kata Doris.

Baru-baru ini, kedua-dua keluarga telibat turut bertemu dalam rakaman kru televisyen ORF.

Derler mengakui berita itu membuatkan beliau berasa keliru dan terkejut.

"Perkara pertama yang saya fikir ialah Jessica akan sentiasa menjadi anak kami dan apabila melihat Doris, saya terfikir bahawa beliau sangat manis," katanya.

Sementara itu, Evelin Grünwald pula berkata, keluarganya kini semakin besar dan beliau akhirnya memperoleh kepastian.

Tambah suaminya, ia merupakan satu kelegaan besar bagi mereka.

Pihak pengurusan hospital, Gebhard Falzberger, mewakili LKH-Uniklinikum Graz memohon maaf kepada kedua-dua keluarga.

"Kami amat kesal atas kesilapan yang berlaku ketika itu," katanya.

Pada 2016, keluarga Grunwald telah mendapatkan nasihat guaman.

Peguam mereka mencadangkan supaya Doris diangkat secara sah sebagai anak angkat bagi memastikan hak warisannya terjamin, selain menerima pampasan daripada pihak hospital.

Keluarga Derler kini turut mengambil langkah sama untuk urusan pengangkatan dan tuntutan pampasan.

Jessica mengakui berasa lega apabila semuanya jelas, namun tetap menyimpan rasa bercampur-baur.

"Secara emosi, ia sangat besar kesannya. Ada sisi yang indah, tetapi juga banyak kesedihan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram