[VIDEO] Pemandu van tidak cermat didenda RM8,000, langgar 6 kenderaan di stesen KTM Ipoh


  • Kes
  • Khamis, 09 Okt 2025

Tangkap layar beberapa kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian bampar belakang.

 

SEORANG pemandu van dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kerosakan enam buah kenderaan di kawasan parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Ipoh dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Ahad minggu lepas, lapor Buletin TV3

Majistret Anis Hanini Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Vikneshwaran Ramasamy, 42, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan diakui bersalah oleh tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, namun dia telah melunaskan jumlah tersebut.

BACA LAGI: Proses beri kerakyatan ikut saluran betul, ada statut itu hal FIFA dan FAM — Saifuddin

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Layak digelar legenda’, trio import double treble seru fans penuhkan Darul Aman, ‘tribute’ buat Azraai-Ahmad Basri Akil

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu van jenis Toyota Hiace secara cuai dan tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan di perkarangan Stesen KTM Ipoh kira-kira pukul 2.55 pagi pada 5 Oktober 2025.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar sebuah van di kawasan parkir Stesen KTM Ipoh.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, siasatan mendapati pemandu terbabit gagal mengawal kenderaan ketika membelok masuk ke simpang lalu melanggar enam buah kereta yang sedang diparkir.

“Bertindak atas maklumat awam, pihak polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan yang memandu van berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram