Jurutera direman 4 hari, bantu siasatan ugut bunuh peguam Zara Qairina


  • Kes
  • Rabu, 08 Okt 2025

Ram (kiri) kini mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap rakan asrama mereka, Zara Qairina (kanan), sebelum kejadian tragis itu berlaku.

SEORANG jurutera direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menghantar ugutan bunuh kepada peguam Datuk Ram Singh yang terlibat dalam prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Perintah reman sehingga Ahad ini bermula Rabu dikeluarkan oleh Majistret Wan Fara Wan Ghazali selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat pada hari yang sama.

Menurut Ram, lelaki berusia 27 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan baharu yang menjadikan perbuatan mengugut, mengaibkan atau menimbulkan ketakutan dan gangguan melalui perkataan, komunikasi atau perbuatan sebagai satu kesalahan jenayah.

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Ada kesan darah pada beberapa barang bukti

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Dituduh mencuri dompet didakwa jadi punca kejadian

Ram berkata, insiden bermula pada 28 Ogos lalu apabila dia menerima mesej daripada nombor tidak dikenali yang bertanya sama ada dia merupakan peguam kepada seorang daripada lima suspek yang dikaitkan dengan kes buli Zara Qairina.

“Selepas itu, individu berkenaan terus menghantar mesej berbaur ugutan termasuk mendakwa tahu lokasi saya bekerja, menggunakan kata-kata kesat dan mengugut untuk mencari saya,” katanya.

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya, Ram membuat laporan polis pada 2 September lalu.

Difahamkan, suspek kemudian menyerah diri di balai polis pada Selasa.

Ram kini mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap rakan asrama mereka, Zara Qairina, sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan di hospital. — The Star/ STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram