
KONFLIK melibatkan menantu dan mentua sememangnya bukan perkara baharu, malah sering kali menjadi perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat.
Baru-baru ini, perkara sama turut berlaku pada seorang wanita sehingga meninggalkan kesan trauma dalam diri.
Berdasarkan kisah dikongsikan seorang wanita menerusi akaun Threads @jannah_kamaruddin, anaknya yang baru berusia lapan bulan diberi makanan oleh ibu mentua tanpa pengetahuannya.
BACA LAGI: Solidariti Farah Lee di KLIA guna baju-T putih sebagai hijab dianggap kurang sesuai, bukan darurat
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya keluar sebentar membeli makanan bersama keluarga mentua.
"Sekarang dah takut nak tinggal anak dengan keluarga ibu mentua walaupun sekejap.
"Waktu itu nampak anak mengunyah sesuatu. Bila tanya, semua senyap jadi saya rasa anak memang tengah fasa tumbuh gigi. Gatal gusi mungkin.
"Seminggu kemudian, tiba-tiba ibu mentua buka cerita sambil ketawa dan beritahu dia suap roti kebab bagi rasa-rasa.
"Mak saudara pula tambah 'tak mengapa, gandum sahaja'. Bukan masalah gandum atau tidak, tetapi kenapa tak tanya dahulu, saya ibu dia," tulisnya.
Tambahnya, perkara itu mungkin terlihat kecil, namun boleh memberi kesan besar sekiranya bayi tersebut mempunyai alahan atau tercekik ketika menelan.
"Aku sendiri tak bagi anak makan roti itu sebab liat dan susah nak kunyah kalau tak ada gigi.
"Bayangkan kalau tercekik atau alahan tetapi aku tak tahu dia makan apa.
"Selepas itu memang aku tak biarkan anak dan suami pun faham kalau nak bagi makan apa-apa perlu tanya mak dia dulu," jelasnya.
Kisahnya sekali gus membuka mata ramai dan menjadi pengajaran agar tidak memberikan sesuatu makanan kepada bayi tanpa pengetahuan penjaganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram