
PERNAH tak buka almari, niatnya nak cari baju tapi yang jumpa cuma timbunan baju lama yang dah tak muat, tak sesuai dengan gaya sekarang, atau dibeli masa 'fasa suka warna terang'?
Akhirnya, baju-baju tu cuma tergantung diam, tak ubah sperti pameran kenangan masa lalu.
Kalau anda pun senasib, mungkin dah tiba masanya tukar ‘serabut dalam almari’ itu jadi rezeki baru.
BACA LAGI: Percutian karavan, destinasi 'hobbit' antara lokasi boleh diterokai pengunjung di TGO 2025
Semakin ramai yang bijak mula menjual baju ‘preloved’, bukan sahaja sebab nak buat duit lebih, tapi juga kerana mahu menyokong gaya hidup mampan dan elak pembaziran. — Gambar Hiasan
Ya, kini makin ramai rakyat Malaysia mula menjual baju ‘preloved’ (baju terpakai) , bukan sahaja sebab nak buat duit lebih, tapi juga kerana mahu menyokong gaya hidup mampan dan elak pembaziran.
Menariknya, jual baju terpakai sekarang bukan lagi sesuatu yang janggal. Malah, ramai yang jadikan ia bisnes sambilan pada ketika ini.
Dari pakaian kasual, beg tangan hingga kasut berjenama, semuanya ada pasaran tersendiri, asalkan masih elok dan bergaya.
Bagi yang ingin mula menjual baju ‘preloved’ tetapi tidak tahu di mana hendak bermula, berikut tiga tempat dan platform popular yang boleh dijadikan pilihan untuk menukar baju lama menjadi sumber rezeki baharu.
1. 2nd Street – Kedai fizikal dan dalam talian yang semakin popular
2nd Street menerima pelbagai jenis pakaian, kasut, beg serta aksesori yang masih dalam keadaan baik. — Gambar/ 2nd Street
2nd Street, rangkaian kedai pakaian terpakai dari Jepun, kini semakin berkembang di Malaysia.
Berkonsepkan tema moden, kemas dan tersusun, 2nd Street menerima pelbagai jenis pakaian, kasut, beg serta aksesori yang masih dalam keadaan baik.
Caranya mudah dan pelanggan hanya perlu membawa barangan ke cawangan berhampiran untuk dinilai oleh staf.
Jika diterima, bayaran akan dibuat secara tunai atau kredit dalam masa yang singkat.
Menariknya, setiap item yang dijual di 2nd Street melalui proses pemeriksaan kualiti ketat bagi memastikan ia masih elok dan layak digunakan semula.
Selain kedai fizikal, pelanggan juga boleh melayari laman sesawang 2nd Street di https://www.2ndstreet.global/ untuk membeli barangan terpakai jenama terkenal pada harga jauh lebih murah.
2. Refash Malaysia – Platform fesyen terpakai
Bagi mereka yang gemar berfesyen tetapi ingin berjimat, Refash Malaysia antara pilihan paling popular.
Platform ini menerima pelbagai jenis pakaian lelaki dan wanita yang masih elok.
Prosesnya sangat mudah pengguna hanya perlu menghantar pakaian mereka ke Refash, dan pasukan Refash akan menguruskan segalanya daripada penilaian sehinggalah penjualan.
Pemilik akan menerima bayaran berdasarkan harga pasaran semasa bermula dengan RM15 hingga ke RM50 untuk sehelai item pakaian berjenama.
Sekiranya anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditawarkan, anda boleh mengambil semula barangan tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Konsep tersebut amat digemari oleh golongan profesional dan pelajar universiti yang mahu menjana pendapatan sampingan tanpa perlu menguruskan penjualan sendiri.
Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web https://refash.my/pages/how-to-sell.
3. Carousell – Jualan fleksibel secara dalam talian
Pengguna memuat naik gambar, menetapkan harga dan berurusan terus dengan pembeli tanpa perantara menggunakan Carousell. — Agensi
Bagi mereka yang lebih selesa berniaga dari rumah, Carousell menjadi pilihan terbaik.
Platform ini membolehkan pengguna memuat naik gambar, menetapkan harga dan berurusan terus dengan pembeli tanpa perantara.
Selain pakaian, Carousell turut digunakan untuk menjual pelbagai barangan lain seperti kasut, aksesori, beg tangan, buku malah perabot. Dengan ribuan pengguna aktif setiap hari, peluang untuk menjual barangan ‘preloved’ di sini sangat besar.
Kelebihan utama Carousell ialah fleksibiliti dan pengguna bebas menetapkan harga, berunding dengan pembeli, dan menjual mengikut masa sendiri.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, menjual pakaian terpakai bukan sahaja menjadi cara untuk menambah pendapatan, tetapi juga langkah bijak menyokong ekonomi kitar semula dan mengurangkan pembaziran.
Selain itu, pengguna juga boleh memuat naik aplikasi Carousell di GoolePlay dan Apple Store serta melayari laman sesawang https://www.carousell.com.my/ untuk menjual barang mereka.
Apa yang dulunya memenuhi almari kini boleh menjadi peluang rezeki yang mana satu realiti yang semakin diterima masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram