
SEORANG gadis meluahkan rasa syukur dan terharu apabila seorang penghantar makanan sanggup berhenti dan membantu selepas dia terlibat dalam kemalangan di sebuah lebuhraya pada Selasa.
Perkongsian oleh pengguna laman Threads, @vnytta.p, mendapat perhatian ramai selepas dia menceritakan detik cemas yang hampir meragut nyawanya, sebelum diselamatkan oleh lelaki yang tidak didedahkan namanya itu yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
Menurut gadis berkenaan, kemalangan itu berlaku secara tiba-tiba ketika dia sedang memandu, dan keadaan jalan yang sibuk membuatkannya panik serta bimbang kenderaan lain mungkin tidak sempat mengelak.
BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh
“Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada abang yang berhenti, bantu kawal trafik, tenangkan saya dan tunggu sampai bantuan tiba.
"Dia sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Hulu Langat, Selangor selepas habis penghantaran tapi tetap pilih untuk tunggu,” tulisnya.
Katanya, walaupun lelaki itu sudah menamatkan tugasan penghantaran makanan, dia tidak berlalu pergi sebaliknya sanggup berhenti, menenangkan dirinya yang masih terkejut dan membantu mengawal aliran kenderaan di lokasi supaya tiada kejadian lebih buruk berlaku.
“Bayangkan kalau tiada dia, mungkin saya boleh kena langgar lagi atau alami perkara yang lebih teruk. Kebaikan dan kerendahan hati dia benar-benar buat saya terharu.
"Semoga Tuhan sentiasa lindungi abang dan keluarga,” ujarnya lagi.
Menurutnya, rider tersebut bukan sahaja membantu dari segi fizikal, malah kehadirannya juga memberikan ketenangan emosi ketika dia berada dalam keadaan trauma dan keliru selepas kejadian.
“Dia tenangkan saya, pastikan saya okay dan tunggu sampai bantuan tiba. Bagi saya, dia betul-betul ‘malaikat tanpa sayap’,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu kini tular di media sosial, dengan ramai pengguna memuji tindakan mulia rider tersebut yang dianggap lambang keprihatinan dan nilai kemanusiaan rakyat Malaysia.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum terhadap semangat tolong-menolong yang ditunjukkan, walaupun dalam keadaan penat selepas seharian bekerja.
Ada juga yang menyifatkan rider itu sebagai contoh terbaik bagaimana kebaikan kecil mampu memberi kesan besar kepada orang lain, serta menyeru agar masyarakat lebih peka dan berani membantu apabila berdepan situasi kecemasan di jalan raya.
Kisah tersebut menjadi peringatan buat warganet tentang pentingnya nilai kemanusiaan, selain mengingatkan bahawa dalam dunia serba sibuk hari ini, masih ramai individu berhati emas yang tidak teragak-agak menghulurkan bantuan tanpa mengira waktu atau keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram