[VIDEO] Dakwa keputusan Puspakom tak konsisten, pemandu lori merayu JPJ campur tangan


  • Massa
  • Selasa, 07 Okt 2025

Puspakom menetapkan setiap kenderaan perlu disemak bagi mengikuti piawaian antarabangsa.

SEORANG pemandu lori meluahkan rasa kecewa selepas lori miliknya didapati tidak lulus pemerikasaan pihak Puspakom sebanyak tiga kali walaupun tiada sebarang undang-undang dilanggar.

Luahan tersebut dikongsikan pengguna TikTok, Ganesvikki yang menyatakan kenderaannya itu tidak melepasi pemeriksaan dibuat di Puspakom cawangan Sungai Petani, Kedah.

Video berdurasi lebih tiga minit itu pada awalnya menunjukkan lori barang tersebut dalam keadaan baik, terutamanya keadaan keempat-empat tayar.

BACA LAGI: Nahas Gerik: Puspakom sahkan brek bas bawa pelajar UPSI berfungsi

BACA LAGI: [VIDEO] Puspakom JB siasat kes staf ditampar pemandu lori mengamuk gagal ujian brek

Bagaimanapun, Puspakom bertindak melabel kenderaan tersebut tidak menepati undang-undang selepas tiga kali pemeriksaan dibuat meskipun beberapa proses baik pulih dibuat setiap kali sebelum diperiksa.

"Mereka kata brek perlu diperbetulkan semula dengan axle juga perlu diperbaiki. Selain itu, kepak lumpur (mud flap) kiri dikatakan tidak memuaskan.

"Banyak masalah ini,sudah dua kali kena sebegini. Saya nak minta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selesaikan masalah ini. Saya mahu beri aduan kepada JPJ," katanya.

Pengguna TikTok itu turut sempat merekod kenderaan lain di Puspakom Sungai Petani yang membuat pengubahsuaian terhadap lori masing-masing, namun terdapat kemungkinan diluluskan pihak terbabit.

Bagaimanapun tarikh video itu dirakam tidak dapat dipastikan.

Puspakom sememangnya menetapkan setiap kenderaan berat, terutamanya lori bagi memastikan ia mematuhi standard dan piawaian antarabangsa berdasarkan akreditasi berasaskan industri.

Ini juga bagi mengelak sebarang masalah teknikal berlaku ketika kenderaan tersebut sedang dipandu sehingga boleh menyebabkan kemalangan meragut nyawa.

Bagaimanapun, pemilik lori kerap menyuarakan rasa runsing mengenai piawaian Puspakom dengan Ganesvikki menjadi antara yang terbaru berkongsi perkara tersebut. 

Puspakom atau JPJ tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu setakat video ini ditulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram