
"SAYA rasa takut, tetapi saya sudah bersedia dengan apa sahaja yang mungkin berlaku kerana kisah Gaza perlu disampaikan terus dari lapangan,” kata satu-satunya wartawan Malaysia yang menyertai gelombang ketiga Global Sumud Flotila.
Wartawan Astro Awani, Syafiq Shukri Jalil, 33, yang berada di atas kapal 'Conscience' bersama 150 sukarelawan perubatan dan media lain berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama wartawan The Star, Zakiah Koya di perairan antarabangsa pada 5 Oktober.
“Perjalanan kami sangat bergantung pada kelajuan kapal dan keadaan cuaca. Beberapa hari ini, kami menghadapi gelombang besar dan ramai yang mengalami mabuk laut. ‘Conscience’ adalah kapal terbesar dalam gelombang ketiga Global Sumud Flotila yang diiringi beberapa kapal lain menuju Gaza.
BACA LAGI: Global Sumud Flotilla: 23 aktivis kita bebas, transit Istabul sebelum ke Malaysia — PM Anwar
BACA LAGI: Rejim dakwa tiada bekalan kemanusiaan dalam 40 bot GSF
Wartawan Astro Awani, Syafiq Shukri Jalil berada di atas kapal 'Conscience' bersama 150 sukarelawan perubatan dan media lain. — Facebook
“Kami terpaksa mengurangkan kelajuan supaya kapal lain dapat mengejar dan kami kekal selari. Kami anggar dalam empat hari akan tiba di Gaza, namun semuanya bergantung pada cuaca dan kelajuan.
“Kini, terdapat sembilan kapal dan saya akan memberikan kemas kini perjalanan dari semasa ke semasa.
“Saya berada di atas Conscience sejak 30 September (Selasa) dan hari ini menandakan hari keenam di laut bersama peserta yang terdiri daripada doktor perubatan dan wartawan dari 25 negara.
“Keseluruhannya, terdapat 11 kapal yang berlepas dari dua pelabuhan berbeza di Itali iaitu Sicily dan Otranto. Impian saya sejak menjadi wartawan adalah untuk masuk ke Gaza. Misi ini adalah untuk memecahkan sekatan dan blokade haram terhadap rakyat Palestin.
"Kami datang sebagai solidariti bersama komuniti global untuk menghantar mesej kuat kepada mereka yang bersekongkol dengan rejim Zionis, berdagang dan membekalkan senjata untuk meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin.
“Perang ini sudah bermula sejak beberapa dekad lalu, tetapi meningkat sejak Oktober 2023.
“Sejujurnya, saya sangat bermotivasi. Ada kalanya saya takut dan gugup, tetapi saya sudah bersedia sepenuhnya. Saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Freedom Flotilla Coalition juga telah mempersiapkan kami untuk menghadapi apa jua cabaran dan provokasi,” ujar Syafiq.
Gelombang ketiga Flotila Global Sumud membawa 92 peserta di atas kapal Conscience dan selebihnya di kapal lain.
“Pihak rejim juga tidak membenarkan wartawan luar masuk ke Gaza untuk melaporkan keadaan di sana. Semua orang tahu apa yang berlaku, tetapi tiada siapa dibenarkan masuk.
"Ini satu-satunya cara kami untuk masuk ke Gaza dan memberikan bantuan perubatan serta kemanusiaan,” katanya.
Syafiq berkata, masa di atas kapal diisi dengan taklimat dan menyiapkan laporan yang perlu dihantar ke stesen televisyen di Malaysia.
“Peranan saya di atas kapal adalah untuk menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang apa yang berlaku setiap hari dan langkah kami seterusnya.
"Saya cuba sampaikan sebanyak mungkin kepada orang ramai di media sosial kerana lebih banyak penglibatan bermakna lebih perhatian diberikan, bukan kepada saya, tetapi kepada misi ini.
“Perkara ini penting untuk memastikan misi ini diteruskan bagi menghentikan kebuluran di Gaza. Kami mungkin tidak membawa banyak bantuan seperti yang diperlukan oleh penduduk, tetapi usaha berterusan seperti ini akan memberi tekanan kepada pihak pendudukan.
"Ini juga mesej kepada pemimpin dunia bahawa jika kami terus berusaha, kami akan mencapai matlamat utama,” tambah Syafiq.
Beliau juga mengakui rasa sedikit tertekan sebagai satu-satunya wartawan Malaysia.
“Saya perlu sentiasa bersedia untuk memaklumkan situasi kami kepada rakyat Malaysia dan naratif yang disampaikan mesti mudah difahami oleh orang ramai.
"Saya gembira kerana Malaysia sentiasa dinantikan, terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bersuara mengenai isu Gaza.
Seramai 23 rakyat Malaysia sebelum ini ditahan dan kini telah dihantar pulang selepas ditangkap.
“Saya tahu ini peluang emas untuk berkongsi perspektif saya sebagai wartawan Malaysia kepada dunia.
“Jika diberi kesempatan sampai ke Gaza dengan izin Tuhan, saya ingin merekodkan kisah rakyat Palestin di bawah kekejaman dan keberanian mereka kekal tabah menghadapi rejim itu.
“Segala pembunuhan terhadap kanak-kanak, wanita, petugas perubatan dan media – saya mahu menceritakan kisah mereka yang mengalami semua ini.
“Kita sering mengeluh tentang apa yang kita ada, tetapi kita perlu melihat kekuatan dan keimanan mereka walaupun tidak mempunyai harapan kerana sekatan yang dikenakan,” katanya yang terpaksa memendekkan temu bual untuk menghadiri taklimat seterusnya di kapal.
Gelombang pertama Global Sumud Flotila telah disekat oleh militan negara rejim, dengan 23 rakyat Malaysia yang ditahan dan kini telah dihantar pulang selepas ditangkap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram