
TULAR baru-baru ini kisah nama besar dalam industri fesyen Muslimah tempatan seperti Sabella dan Hasnuri yang dikhabarkan menutup operasi bisnes mereka.
Jenama tersebut bukan jenama biasa-biasa kerana pernah mencatat sejarah jualan mencecah RM200 juta.
Kini kisah kejatuhan perniagaan mereka menjadi pengajaran besar buat usahawan lain.
Hantaran tular mengenai penutupan operasi butik Hasnuri dan Sabella.
Berkongsi pengalaman hampir sama, pengasas Maharani Faith Fleur, Siti Mariam Samad yang pernah meraih jualan tahunan RM22 juta berkata, ada banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan perniagaan.
Berikut antara sebab perniagaan semakin merudum:
1. Hilang Fokus Selepas PKP
Kedua-dua perniagaan menggunakan model bisnes stokis-ejen. Sistem tersebut yang menjadi tulang belakang perniagaan mula goyah selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
Ramai ejen memilih kembali bekerja makan gaji, sekali gus menjejaskan keseluruhan rangkaian jualan. Apabila ejen hilang fokus, prestasi dari atas hingga bawah turut terkesan.
2. Perubahan Tingkah Laku Ejen dan Pelanggan
Ejen kini lebih suka santai atau sekadar jadi affiliate, manakala pelanggan lebih gemar membeli terus di platform e-dagang. Ekosistem yang tidak seimbang ini menyebabkan momentum jualan tidak lagi sama seperti dahulu.
3. Gagal Adaptasi ke TikTok Shop
Kemunculan TikTok Shop pada 2022 mempercepatkan perubahan pasaran. Pelanggan kini lebih suka membeli terus dari video atau siaran langsung (Tiktok Live).
Namun, ramai ejen tidak mahir menghasilkan konten. Apabila HQ cuba masuk platform untuk orang kenal jenama, ejen pula rasa tergugat. Kesannya boleh dilihat apabila pesaing yang pantas adaptasi lebih mudah mendominasi dan maju dalam perniagaan.
Tangkap layar mengenai penutupan operasi butik Hasnuri.
4. Masalah Aliran Tunai (Cash Flow)
Apabila jualan merosot, aliran tunai syarikat mula 'koyak'. Sedangkan komitmen bulanan yang tinggi tetap berjalan seperti biasa.
Ia meliputi gaji ratusan staf, kos operasi, pemasaran, dan kos produk. Ada yang mampu bayar dan ada yang mula tertunggak.
5. Simpanan Tunai (Cash Reserve) Habis Diguna
Untuk bertahan, syarikat terpaksa menghabiskan simpanan tunai (reserve). Bank sebelum ini menawarkan pinjaman jutaan ringgit ketika profil kewangan kukuh. Namun apabila digunakan untuk 'survive', bayaran semula pinjaman pula jadi beban bulanan yang mengikat syarikat.
6. Kelemahan Strategi Marketing
Apabila HQ tidak lagi agresif dalam pemasaran, stok lambat sampai dan produk baharu tidak diperkenalkan, agen serta 'leader' mula hilang keyakinan. Ramai akhirnya keluar mencari peluang lain yang lebih stabil.
Kejatuhan jenama besar seperti Sabella dan Hasnuri membuktikan bahawa adaptasi pantas terhadap perubahan pasaran adalah kunci survival.
Bisnes model stokis-ejen yang dahulu berjaya kini tidak lagi relevan tanpa strategi pemasaran digital yang agresif, pengurusan tunai yang bijak dan kemampuan membaca tingkah laku pelanggan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram