
RAMAI anak muda hari ini mula celik kewangan dan mencari jalan untuk menggandakan lebihan pendapatan.
Di Threads, seorang pekerja muda berusia 26 tahun menyatakan hasrat untuk membuat simpanan dengan lebihan pendapatan berjumlah antara RM2,000 hingga RM3,000.
Dengan pendapatan daripada bekerja offshore, @disenchanted berkata, dia tiada hutang dan memiliki komitmen kecil, justeru mampu menyimpan duit secara konsisten.
BACA LAGI: 'Cash out' BNPL konon nak pegang tunai dalam tangan tapi jalan pintas ke lubang hutang
BACA LAGI: Model stokis-ejen dah lapuk, 'founder' bisnes sezaman Sabella, Hasnuri kongsi punca bisnes merudum
Pelaburan di ASB menguntungkan pengguna menerusi pulangan dividen. — Gambar hiasan/ Thread
Berdasarkan situasi tersebut, tentu ada yang turut berminat untuk mengetahui tempat terbaik menyimpan duit agar dapat pulangan dalam bentuk dividen.
Hakikatnya, kadar dividen hujung tahun tidak pernah tetap, sama ada Tabung Haji, ASB atau instrumen lain memandangkan semuanya bergantung kepada prestasi pelaburan.
Namun, ada beberapa strategi yang boleh dipelbagaikan mengikut jangka masa dan tahap risiko.
MEDIUM JANGKA MASA PENDEK
Bagi mereka yang mengutamakan kecairan tinggi iaitu kemudahan untuk mengeluarkan wang pada bila-bila masa diperlukan, beberapa pilihan menarik adalah berikut:
1. Touch n Go (TNG Go+)
Platform ini menawarkan pulangan harian dengan kadar sekitar 3 peratus setahun, menjadikannya sesuai sebagai tempat menyimpan ‘duit sementara’ sebelum digunakan untuk keperluan lain.
2. Aeon Bank (Islamic)
Platform Aeon Bank turut menawarkan pilihan simpanan dengan pulangan sekitar 3 peratus setahun, yang dikreditkan secara bulanan.
Kelebihan utamanya ialah kemudahan pemantauan dan urusan kewangan yang serba pantas melalui aplikasi digital, menjadikannya mesra pengguna dan sesuai untuk mereka yang gemar mengurus simpanan secara dalam talian.
3. Atlas Muamalat
Atlas Muamalat pula menawarkan akaun simpanan Islamik dengan kadar pulangan harian sekitar 3.88 peratus setahun. Keistimewaan produk ini terletak pada struktur pulangannya yang lebih kompetitif berbanding pilihan lain dalam kategori simpanan mudah cair, sekali gus sesuai untuk mereka yang mahu mengekalkan dana tunai sambil menikmati keuntungan yang konsisten.
MEDIUM JANGKA MASA PANJANG
Bagi mereka yang menyimpan untuk tujuan jangka panjang sama ada untuk persediaan kahwin, membeli rumah mahupun persaraan, berikut beberapa instrumen lain boleh dipertimbangkan:
1. Tabung Haji (TH)
Sebagai instrumen simpanan patuh syariah, TH menawarkan dividen tahunan serta bonus haji yang membantu meringankan kos menunaikan ibadah tersebut.
Dengan tahap risiko yang rendah, ia sangat sesuai untuk menempatkan dana simpanan dalam jumlah besar, terutama bagi mereka yang mahukan kestabilan dan kepastian.
2. ASB/ ASNB
Amanah Saham Bumiputera (ASB) di bawah kelolaan ASNB juga menjadi pilihan utama untuk simpanan jangka panjang. Dengan rekod pulangan dividen tahunan yang kompetitif, ia sesuai dijadikan asas kepada portfolio pelaburan, terutamanya bagi anak muda yang baru ingin bermula.
Selain itu, kadar risikonya juga sederhana, menjadikannya instrumen yang seimbang antara potensi pulangan dan kestabilan.
3. Emas Fizikal/ Emas Digital
Pelaburan emas sama ada dalam bentuk fizikal atau digital sering dianggap sebagai pelindung nilai jangka panjang. Walaupun harganya boleh turun naik dalam jangka masa pendek, trend jangka panjang biasanya menunjukkan peningkatan.
Justeru, emas sesuai dijadikan sebahagian daripada portfolio simpanan, terutamanya bagi mereka yang ingin mengekalkan kuasa beli aset dalam menghadapi inflasi.
4. Pelaburan Digital (Wahed, Versa, Moomoo)
Selain itu, pelaburan digital seperti Wahed, Versa atau Moomoo turut menjadi pilihan generasi muda kerana aplikasi ini mesra pengguna dan mudah diakses.
Sebahagiannya juga menawarkan pilihan patuh syariah. Berbanding akaun simpanan biasa, instrumen digital ini berpotensi memberi pulangan lebih tinggi, namun ia turut hadir dengan risiko pasaran yang perlu difahami oleh pelabur sebelum membuat keputusan.
5. Kripto
Bagi mereka yang berani mengambil risiko, aset digital seperti kripto turut menjadi pilihan. Instrumen ini terkenal dengan turun naik harga yang sangat ketara, berisiko tinggi, namun menawarkan potensi pulangan yang besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram