
SEORANG lelaki warga Bangladesh mencuri perhatian warganet apabila berkongsi pengalaman hampir sedekad mencari rezeki di Malaysia dengan pendapatan mencecah RM5,000 sebulan, meskipun terpaksa bekerja dalam keadaan serba mencabar tanpa cuti.
Lelaki dikenali sebagai Anis itu berkata, sepanjang hampir 10 tahun menetap di negara ini, dia belum pernah pulang ke Bangladesh kerana selesa dengan kehidupan dan peluang pekerjaan yang diperoleh di Malaysia.
Menerusi video tular yang dimuat naik oleh laman TikTok, SyokGeng itu juga berkongsi bahawa Anis mengakui segala keperluan termasuk tempat tinggal dan pekerjaan jauh lebih baik berbanding di negara asalnya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Mereka rajin, kita malas', warganet 'backup' Bangladesh usahakan kebun
BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejak bila Malaysia ada Bangladesh Market?'
"Nama saya Anis, boleh cakap Bahasa Melayu. Dah dekat 10 tahun di Malaysia. Tak pernah balik Bangladesh lagi. Saya Malaysia okey, kerja okey, tidur okey, semua okey Malaysia. Bangladesh tak okey,” katanya.
Bukan itu sahaja, Anis juga menjelaskan bahawa dia bekerja selama 10 jam sehari tanpa cuti dan tidak bercadang untuk pulang ke negara asalnya susulan gaji sekitar RM5,000 sebulan dianggap sangat berbaloi.
"Gaji di sini sebulan RM5,000. Saya kerja 10 jam. Saya punya kerja teruk. Saya tiada cuti," kongsinya lagi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan ramai memuji kesungguhan dan ketabahan Anis yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi mencari rezeki halal.
Tidak kurang juga warganet yang terkejut dengan gaji diperolehi Anis berikutan sebahagian berkongsi bahawa mereka hanya menerima gaji minimum berjumlah RM1,700 hingga RM3,000.
"Warga asing lagi besar gaji daripada orang Malaysia, rakyat Malaysia sendiri gaji sebulan RM1,700," kata pengguna TikTok, donnymeredu0.
"Mereka buat kerja susah untuk dapatkan kerja begitu, bukan senang. Dia dah duduk hampir 10 tahun, mesti total dah hampir RM600,000," pendapat penyokong TikTok, encounterselfie.
"Saya HR untuk pekerja warga asing macam dia. Memang gaji diorang hampir RM5,000 sebulan. Tapi kerja 12 jam sehari, rehat satu jam, kerja enam hari seminggu, tak pernah cuti, tak pernah MC.
"Hari cuti kalau suruh datang kerja pun sanggup datang. Suruh lah kerja apa sekalipun, mereka buat saja. Tak pernah merungut, tak pernah complain. Kadang sakit-sakit pun datang kerja, tak nak ambil MC," ujar pengguna TikTok, Homp Sapiens. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram