
SATU video memaparkan seorang lelaki warga Bangladesh mengusahakan kebun sayur di kawasan tanah lapang tular di media sosial hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Rakaman yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary Idola Kami, memaparkan perbualan antara perakam dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Naimut.
Dalam video berdurasi 41 saat berkenaan menyaksikan pemilik akaun Facebook terbabit bertanya beberapa soalan mengenai pemilik kebun berkenaan kepada lelaki Bangladesh yang mahu dikenali sebagai Naimut itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejak bila Malaysia ada Bangladesh Market?'
BACA LAGI: PDRM cekup 36 suspek militan Bangladesh di Selangor, Johor
"Ini siapa punya? Tauke. Siapa Tauke sini? Mana orang? Tauke di sini Bangladesh? Dia mana? Awak duduk mana? Oh, ini Bangladesh punya lah. Oh, semua Bangladesh punya. Sana (sambil menunjukkan kawasan lain kebun itu). Oh sampai sini Bangladesh," soalnya.
"Di sini Bangladesh bos. Saya pun Bangladesh," jawapan ringkas setelah mengangguk beberapa kali kepada pertanyaan yang diajukan oleh lelaki tempatan itu.
Video berkenaan menjadi tular di platform Facebook berikutan ia menimbulkan persoalan mengenai status tanah yang diusahakan sama ada milik persendirian, tanah kerajaan, atau tanah terbiar.
Bukan itu sahaja, warganet juga mempersoalkan sama ada lelaki Bangladesh itu bekerja di bawah pengusaha tempatan atau mengusahakannya secara bebas.
Tangkap layar video yang dimuat naik pengguna Facebook itu.
Di sebalik tanda tanya mengenai aspek undang-undang, sesetengah warganet tampil mempertahankan inisiatif pekerja asing tersebut dengan memuji kerajinan mereka berbanding sikap segelintir rakyat tempatan.
“Mereka rajin, kita malas,” tulis seorang pengguna Facebook, Muhammad Muhd di ruangan komen, manakala ada yang menyifatkan tindakan itu wajar dicontohi kerana memanfaatkan tanah terbiar untuk pengeluaran makanan.
"Jangan salahkan mereka. Cuba tengok belakang rumah kita di kampung. Pokok apa yang tumbuh. Lalang atau hutan atau sayuran. Fikirlah sendiri," tambah pemilik akaun Facebook, Roslan Rahman.
"Kadang-kadang orang tempatan yang beri ruang dan peluang kepada mereka. Kalau tiada orang tempatan tolong atau bagi peluang, tiadanya mereka boleh buat kebun besar ini," jelas warganet, Hijam Mohd Dali.
Antara respons yang dimuat naik warganet.
Bagaimanapun, ada juga yang bimbang jika kegiatan tersebut melanggar peraturan, khususnya jika ia dilakukan tanpa kebenaran pemilik tanah atau pihak berkuasa.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi berhubung status pemilikan tanah dan sama ada kebun sayur berkenaan mendapat kelulusan pihak berwajib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram