Selangor sasar sumbangan KDNK RM20 bilion menjelang 2035 menerusi ekonomi jingga


  • Bisnes
  • Selasa, 23 Sep 2025

Mohd Najwan (kiri) ketika sesi townhall sempena pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif dan Majlis Perasmian SCEE2025 di Pusat Konvensyen MBSA pada Selasa. — The Star

SELANGOR menyasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM20 bilion menjelang 2035 menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata, industri kreatif Selangor menyumbang kira-kira RM8 hingga RM10 bilion KDNK pada 2022 dengan potensi pertumbuhan kukuh dalam pelbagai sektor seperti media digital, filem, reka bentuk, seni budaya dan warisan.

Katanya, dengan pelan ini, Selangor berhasrat menggandakan nilai tersebut menjelang 2035, di samping membangunkan ekosistem yang inklusif, bersedia untuk masa depan serta berdaya saing di peringkat global.

BACA LAGI: Panduan lengkap guna aplikasi isi minyak, e-wallet beli petrol subsidi Budi Madani RON95

BACA LAGI: Kuota 300 liter RON95 sebulan mencukupi, 'cover' 170km perjalanan sehari — Amir Hamzah

Mohd Najwan ketika sesi townhall sempena pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif dan Majlis Perasmian SCEE2025 di Pusat Konvensyen MBSA pada Selasa. — The Star

"Mungkin angka ini nampak tidak begitu besar, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan di peringkat nasional.

"Lebih penting, dengan pelaksanaan perancangan strategik dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita menjangkakan sektor ekonomi kreatif di Selangor mampu menjana sehingga RM20 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi townhall pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif dan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE 2025) di Pusat Konvesyen MBSA pada Selasa.

Mohd Najwan berkata, ekonomi jingga mempunyai potensi besar untuk terus berkembang bukan sahaja dalam segmen animasi, tetapi juga dalam digital dan multimedia, budaya serta seni warisan.

"Ekonomi kreatif kini bukan lagi hanya tentang seni dan budaya, ia adalah mengenai penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pemacu inovasi, pengukuhan pelancongan serta membina identiti global untuk Selangor.

"Contohnya, kita ada Perkampungan Orang Asli Mahmeri di Pulau Carey yang baru-baru ini mendapat pengiktirafan komuniti daripada UNESCO Creative Cities Network.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa warisan budaya kita boleh diketengahkan untuk menjana pendapatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.

Tambahnya lagi, pelan tersebut menyediakan laluan jelas untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu ekonomi sebenar bagi Selangor.

Pelan yang dirangka dengan hala tuju 10 tahun itu memfokuskan kepada tiga strategi utama meliputi pertumbuhan kreatif mampan, penyertaan inklusif dan pemeliharaan warisan budaya.

Melalui pertumbuhan kreatif, pelan tersebut memfokuskan strategi memupuk inovasi, keusahawanan, serta peluang eksport manakala di bawah strategi penyertaan inklusif, ia mahu memperkukuh bakat tempatan dan memperluas akses kepada platform kreatif.

Sementara itu, strategi pemeliharaan warisan budaya pula akan memartabatkan identiti unik Selangor melalui pemuliharaan, pelancongan warisan dan penglibatan awam.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Mohd Najwan berkata, enam pemangkin utama telah dikenal pasti iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, akses pasaran dan tatakelola yang mantap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram