
MALAYSIA kekal sebagai antara negara yang menawarkan harga petrol termurah di dunia apabila rasionalisasi subsidi RON95 bermula pada 30 September ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menjelaskan, meskipun harga RON95 akan dinaikkan selepas pelaksanaan rasionalisasi, harga bahan api itu di pasaran tempatan masih jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain.
“Dengan harga RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia, kita sebenarnya berada dalam kelompok harga petrol termurah di dunia.
"Malah, kita masih kekal antara yang paling murah di rantau ini dan juga peringkat global,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Isnin.
Pengguna disarankan menyemak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah menerusi mekanisme penggunaan BUDI95. — AZHAR MAHFOF
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, pengumuman harga pasaran sebenar hanya akan dibuat pada 30 September kerana ia bergantung kepada harga minyak mentah dunia.
Menurutnya, dengan jangkaan harga minyak sekitar AS$75 setong, kerajaan berpotensi menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.
Beliau menegaskan, pelarasan subsidi RON95 juga bertujuan memastikan penjimatan tidak lagi dinikmati pihak yang tidak layak, termasuk kes penyeludupan petrol bersubsidi ke luar negara.
“Penjimatan hasil rasionalisasi ini akan dikembalikan semula kepada tujuan asal subsidi diwujudkan, antaranya memperkukuh Sumbangan Tunai Rahmah (STR), inisiatif SARA, serta kerja-kerja pembangunan seperti menaik taraf klinik dan sekolah daif,” jelasnya.
Amir Hamzah, yang turut memegang portfolio Menteri Ekonomi, menambah harga petrol akan terus kekal rendah sekiranya harga global menurun, memandangkan kadar bersubsidi di Malaysia sememangnya antara yang terendah. — The Star/ IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram