
PROGRAM Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE) kelolaan Selangor Youth Community (SAY) terus diperkasa menerusi kerjasama strategik dengan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).
Majlis pertukaran memorandum Persefahaman (MoU) antara SAY dan MATRADE itu disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengasas dan penaung Diraja Selangor SAY.
Acara berlangsung pada Jumaat sempena penganjuran Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) 2025 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur.
Upacara pertukaran dokumen MoU tersebut sebelum itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq bagi pihak SAY dengan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz.
BACA LAGI: Tarik minat 'investors', pelantikan kerabat diraja pengaruhi pelaburan dunia korporat
BACA LAGI: Ramai tak tahu rupanya boleh beli stok makanan tak habis pada harga diskaun di Value Food, ReMeal
Pengurus program SAY ASPIRE, Abdul Azim Naim Rahman berkata, MoU yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan belia di negeri Selangor itu diyakini akan memberikan impak positif khususnya kepada para peserta dan alumni program SAY ASPIRE.
"Antara intipati MoU itu, program SAY ASPIRE akan menerima manfaat besar, terutamanya dalam aspek bimbingan, pendedahan pasaran, akses kepada perpustakaan digital MATRADE dan jaringan perdagangan antarabangsa.
"Ini termasuklah perkongsian kepakaran dan jalinan kerjasama strategik jangka panjang antara SAY dan MATRADE," katanya kepada Majoriti.
Usahawan SAY ASPIRE juga diberikan akses langsung kepada pendaftaran sebagai MATRADE Member dan juga MADANI Digital Trade serta kemudahan akses kepada geran-geran yang disediakan oleh pihak MATRADE.
Antara agenda utama dalam MoU itu juga adalah untuk memastikan para peserta program SAY ASPIRE lebih bersedia bagi menembusi pasaran antarabangsa dalam merealisasikan potensi perniagaan mereka.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh kehadiran tetamu kehormat lain termasuklah wakil-wakil daripada kerajaan negeri Selangor, ahli-ahli lembaga pengarah MATRADE dan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua organisasi, serta para peserta program SAY ASPIRE.
Malaysia menyasarkan pencapaian jualan melebihi RM4.5 bilion menerusi penganjuran MIHAS 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju utama dalam industri halal global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram