Bertudung sejak kecil kerana patuh arahan sekolah, keluarga, tanpa pemahaman hijab 'ditanggalkan' apabila dewasa


  • Maya
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Golongan yang sejak kecil 'dipaksa' menutup aurat tanpa pemahaman mendalam, lazimnya mula mempersoalkan sebab perlunya memakai tudung apabila menginjak dewasa. — Gambar hiasan/Canva

FENOMENA selebriti menanggalkan hijab dan pakaian peribadi muslim kerap menjadi perhatian masyarakat. Ada yang kecewa, ada cuba memahami, malah ada pula  menjadikannya alasan untuk mempertikaikan kewajipan menutup aurat.

Lebih membimbangkan, ia memberi kesan domino kepada masyarakat terutamanya generasi muda yang sejak kecil dipaksa atau dididik untuk menutup aurat tanpa pemahaman mendalam.

Akibatnya, apabila menginjak usia dewasa, mereka mula mempersoalkan: “Kenapa aku perlu pakai tudung?”

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Situasi ini menyingkap satu krisis bukan sahaja pada hukum hijab itu sendiri, malah pada kefahaman agama yang sangat cetek.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, kewajipan menutup aurat bagi wanita merupakan satu titah perintah ALLAH SWT yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan sunah.

“Tiada sebarang mazhab pun menafikan kewajipan menutup aurat yang telah ditetapkan kepada wanita setelah mencapai usia akil baligh.

"Mereka diwajibkan menutup aurat dengan sempurna kerana ia adalah tuntutan agama yang bertujuan memelihara kehormatan wanita Muslim.

“Bukan sahaja kewajipan ini diperintahkan setelah akil baligh, malah Islam telah menganjurkan konsep ta’dib di awal usia yang merujuk kepada proses pendidikan adab dan akhlak Islam yang perlu ditekankan kepada kanak-kanak Islam sebelum mereka mencapai usia mumayyiz.

"Konsep ini diterapkan sehinggalah mereka baligh dan mampu membawa imej diri Islam yang di perintahkan oleh ALLAH SWT. Maka perintah ini tidak boleh diambil remeh mengikut logik akal kerana akan menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kebinasaan dan mengundang murka ALLAH,” ujar Ustazah Amienah kepada Majoriti.

Beliau memetik firman ALLAH SWT dalam surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka (dari memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang terzahir daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke dada mereka ...”

Menurut beliau, ayat tersebut jelas menunjukkan kewajipan berhijab bukanlah adat sesebuah keluarga, namun ia titah perintah langsung daripada ALLAH SWT buat hamba-NYA yang mengandungi hukum wajib.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim mafhumnya:

“Dua golongan penghuni neraka yang belum pernah di lihat oleh Nabi Muhammad antaranya, wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mereka condong kepada maksiat dan menarik orang lain kepadanya, ada yang kepala mereka seperti bonggol unta dan golongan ini tidak akan menghidu haruman syurga ALLAH apatah lagi menghuninya.”

Jelas Ustazah Amienah, hadis ini juga memberi amaran bahawa aurat yang tidak ditutup dengan sempurna adalah suatu ancaman penisbahan penghuni neraka dan tanda kelalaian yang boleh membawa kepada kemurkaan ALLAH SWT.

“Hijab adalah identiti seorang Muslimah yang membezakan mereka dengan wanita tidak beriman. Menutup aurat pula adalah kewajipan syar’ie, sama ada seorang wanita memahaminya atau tidak, kewajipan tersebut kekal menjadi wajib. Namun, kewajipan ini seharusnya dihayati dengan iman kerana akan menuntun keperibadian akhlak dan bukanlah sekadar ikut-ikutan,” tegasnya.

Tiada jiwa

Tambah Ustazah Amienah: “Penekanan dan pendidikan agama di zaman ini, hakikatnya perlu di dahului dengan paksaaan., Umat zaman Nabi Muhammad SAW dahulu sahaja yang boleh membawa Islam dengan rela hati tanpa paksaan.”

Sebagai contoh di Malaysia ujarnya, ramai remaja perempuan mula bertudung sejak sekolah rendah kerana peraturan sekolah atau tekanan keluarga

“Hal ini positif dari segi amalan luaran, tetapi jika tidak disokong dengan kefahaman, hijab hanya akan menjadi ‘uniform’ tanpa roh.

“Akhirnya, apabila dewasa mereka berdepan cabaran pergaulan, trend fesyen dan pengaruh media sosial sekali gus membuatkan mereka mula keliru.”

"Lebih teruk, sebahagiannya mungkin menanggalkan hijab kerana berasa ia tidak lagi relevan dengan gaya hidup moden,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila seorang selebriti membuka tudung, isu itu bukan sekadar pilihan peribadi, sebaliknya membawa kesan kepada masyarakat terutama golongan muda yang sering menjadikan mereka sebagai role model.

“Sebagai tokoh berpengaruh, setiap tindakan kita akan memberi impak kepada masyarakat, ia mungkin pandangan peribadi individu, namun ia boleh menjadi mesej tersirat bahawa menanggalkan hijab adalah normal dan boleh diterima. Malah, selama mana masyarakat menjadikannya ikutan, selama itulah dosa terpalit itu akan bergerak seiring.

“Sebagai masyarakat juga, kita perlu berhati-hati dalam setiap tindakan. Mengikut tanpa asas akan lebih menyebabkan kita hanyut, menghukum secara keras atau mencaci pula akan mengakibatkan mereka pula yang hanyut. Kerana itulah, Islam mengajar pendekatan penuh hikmah dalam memberi nasihat dan menjadi ikon yang baik kepada masyarakat,” ungkapnya.

Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik ...”

Menurut Ustazah Amienah (gambar kecil) sentiasa berdoa mohon ALLAH menetapkan hati dalam ketaatan menutup aurat hingga ke akhir hayat.

Pentingnya ilmu

Menurut Ustazah Amienah, mendepani isu sebegini, pendidikan dan kefahaman terhadap agama adalah kunci terbaik.

“Krisis ini tidak boleh diselesaikan dengan kritikan dan tohmahan, tetapi melalui pendidikan, bimbingan dan penghayatan agama yang berterusan.

"Semua pihak termasuk ibu bapa, ahli agama dan institusi keluarga serta masyarakat perlu memainkan peranan dengan baik dan bukanlah sekadar menunding jari tanpa meletakkan sebarang titik penyelesaian yang rasional.

“Hijab perlu difahami sebagai ibadah, bukan beban daripada ALLAH. Menutup aurat dan berhijab dengan sempurna itu adalah tanda ketaatan seorang hamba kepada TUHAN sekali gus menjadi benteng kehormatan wanita Islam.

“Fenomena selebriti menanggalkan hijab seharusnya menjadi peringatan kepada kita agar mendidik anak-anak menutup aurat perlu seiring dengan pendidikan iman agar ia berkekalan.

"Biarlah hijab yang kita pakai menjadi benteng kehormatan di dunia dan penyelamat di akhirat,” pesannya menutup bicara.

Tip pupuk kesedaran berhijab

1. Mendalami ilmu agama sejak awal usia

Mengajar dan memahamkan anak-anak hakikat kewajipan agama Islam khususnya bab aurat dengan menjadi ikon terbaik buat mereka.

2. Memilih rakan sebaya yang positif

Lingkungan sahabat yang baik membantu istiqamah dalam menjaga aurat.

3. Kawal pengaruh media sosial

Kurangkan mengikuti selebriti atau influencer yang mempromosikan gaya hidup bebas aurat.

4. Jadikan hijab sebagai ibadah, bukan sekadar fesyen

Berhias dibolehkan, tetapi jangan sampai menyalahi syariat.

5. Mohon kekuatan daripada ALLAH

Doa adalah senjata orang Mukmin. Mintalah agar ALLAH menetapkan hati dalam ketaatan hingga ke akhir hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram