
SELAIN haiwan alpaka, pelbagai binatang peliharaan turut ditemui di sebuah premis makanan yang diserbu pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Halem berkata, pihak berkuasa tempatan turut menemui kucing, itik, Arnab, angsa dan kambing.
"Ku fikirkan alpaka saja, rupanya kucing, itik, arnab, angsa dan kambing pun ada," katanya di Facebook.
BACA LAGI: Buat pengambilan pelajar secara ‘superscale’, Yayasan Peneraju perkasa bakat bumiputera berkualiti
BACA LAGI: Kerjasama SAY - MATRADE perkasa usahawan belia Selangor, bantu tembusi pasaran antarabangsa
Kucing yang ditempatkan dalam sebuah bilik khas di premis terbabit.
Menurut Mohd Noor Helmy, MBMB mengeluarkan dua kompaun terhadap premis terbabit atas kesalahan memiliki haiwan di dalam premis dan kompaun enakmen hiburan masing-masing bernilai RM250 dan RM10,000.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memulakan siasatan pada Isnin berhubung permit serta kesesuaian lokasi bagi menempatkan haiwan seperti alpaka.
"Buat masa ini, kedai diarah tutup selama tujuh hari untuk tujuan pembersihan. Lepas tu patuhi garis panduan, jaga kebajikan binatang dan barulah (boleh) teruskan perniagaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy berkata, walaupun konsep kedai berkenaan menarik dan memiliki potensi niaga, namun ia perlu mematuhi undang-undang serta mengutamakan kebajikan haiwan.
“Konsep kedai ini menarik. Cuma salah sebab tak ikut undang-undang PBT dan kacau hak kehidupan binatang. Kesian binatang tu tak ada 'me-time',” ujarnya.
Beliau turut berkongsi gelagat alpaka yang dikatakan memiliki kebolehan luar biasa, termasuk menegakkan leher bila melihat kamera dan boleh menutup suis lampu menggunakan hidung.
Angsa turut dikurung dalam keadaan yang menyedihkan di dalam premis tersebut.
“Alpaka ni katanya pergi sekolah. Bila nampak kamera dia tegakkan leher. Lepas tu bila suruh tutup suis lampu, dia boleh tutup suis lampu pakai hidung. Kalau betul tatacara, boleh pergi jauh konsep niaga ni,” selorohnya.
Terdahulu, Mohd Noor Helmy mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar Datuk Shadan Othman ke sebuah kafe selepas tular rakaman alpaka ditempatkan di premis berkenaan.
Beliau menyifatkan perlu ada penyelarasan antara agensi berkaitan akan dilakukan oleh MBMB bagi memastikan garis panduan yang lebih teratur dapat diwujudkan.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan alpaka semata-mata, tetapi akan dijadikan rujukan pada masa hadapan untuk haiwan lain.
“Hari ini mungkin makan ditemani kucing atau alpaka, tetapi jika tiada kawalan yang jelas, esok lusa mungkin ada yang bawa masuk gajah atau harimau pula ke dalam premis makanan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram