Dari ayam hingga tenaga hijau, darjat pertanian Thailand jauh tinggalkan Malaysia


  • Massa
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Betagro, syarikat ternama Thailand yang bukan sahaja membela ayam tetapi turut mengawal keseluruhan rantaian bekalan makanan.

PERTANIAN menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, namun Malaysia dilihat masih ketinggalan berbanding Thailand yang jauh lebih ke hadapan dalam aspek pertanian moden, mampan dan bersepadu.

Perkara itu dikongsi pengguna Facebook, Ezreen Muhaizie Marzukhi yang menyifatkan Thailand sudah berada di liga tersendiri dalam menjayakan konsep sekuriti makanan (food security) dan melahirkan syarikat gergasi pertanian bertaraf dunia.

Menurutnya, setiap kali melalui Lebuhraya Danok dan Lebuhraya Patthalung, tiga buah kilang besar di negara jiran itu menjadi bukti jelas betapa mereka sudah jauh meninggalkan Malaysia dalam sektor berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

BACA LAGI: [VIDEO] Kontraktor maut tertimbus tanah runtuh ketika bertugas

“Thailand benar-benar melahirkan juara yang mampu menembusi pasaran dunia. Memang benar tanah mereka luas dan banyak peluang, tetapi apa kurangnya kita?

"Lihat sahaja Lembah Chuping di Perlis yang masih luas dan tidak dimanfaatkan untuk pertanian mampan, sebaliknya hanya dijadikan lokasi bergambar pelancong,” katanya.

Ezreen turut mempersoalkan kelewatan projek pertanian besar di negeri itu yang sering diwar-warkan tetapi tidak menunjukkan perkembangan.

“Dulu F&N, sekarang FGV, entah bila hendak dimulakan pun kita tidak tahu,” ujarnya.

Dia memberi contoh syarikat pertanian Thailand seperti Betagro dan CP Group yang berjaya menguasai industri dari huluan hingga hiliran, selain penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui biomas yang dilaksanakan secara meluas.

Selain itu, Thailand juga dilihat jauh ke hadapan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui apabila memiliki stesen janakuasa elektrik berasaskan biomas yang menggunakan kayu getah sebagai bahan api.

“Lori-lori treler berulang-alik menghantar kayu getah ke kilang berkenaan.

"Renewable energy daripada biomas boleh hidup di Siam kerana kadar tarif jualan tenaganya lebih tinggi berbanding Malaysia, walaupun tarif elektrik di sana lebih rendah,” jelasnya.

Ezreen menambah, kelebihan itu memberi manfaat kepada pengguna kenderaan elektrik (EV) kerana kos caj lebih murah, manakala petrol pula lebih mahal berbanding Malaysia.

“Malah, majoriti hentian rehat dan rawat (R&R) di stesen minyak PTT sepanjang lebuh raya turut menyediakan kemudahan mengecas EV,” katanya lagi.

Menurutnya, faktor kejayaan Thailand bukan semata-mata keluasan tanah atau kelebihan sumber, tetapi datang daripada iltizam politik yang kuat.

“Semua ini hasil political will yang benar-benar mahu melihat perubahan, bukan sekadar retorik. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” tegasnya.

Kesimpulannya, sektor pertanian bukan sekadar tentang hasil tani, tetapi penentu sekuriti makanan, tenaga boleh diperbaharui dan kekuatan ekonomi negara.

Thailand sudah membuktikan bahawa dengan iltizam politik yang jelas, mereka mampu melahirkan syarikat bertaraf dunia serta membina ekosistem pertanian moden yang bersepadu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram