
BARU-BARU ini, tular sebuah kejadian menyaksikan kereta jenis Toyota Estima terbakar di tepi jalan sekitar Lekir di Manjung, Perak.
Rakaman tersebut dimuat naik di laman TikTok Snaazmi memaparkan kenderaan itu hampir hangus dengan sebuah keluarga berada berhampirannya.
"Kejadian di Lekir, suami saya sudah perasan ada asap keluar dari kereta hadapan dan dia panggil saya sedang tidur. Tetapi, saya hanya mengabaikannya kerana sangka sedang bergurau.
BACA LAGI: [VIDEO] Nampak mudah tapi amat bahaya, botol air rupanya boleh cetus kebakaran dalam kereta
"Tidak lama kemudian, saya pula kelam-kabut mengarahkannya untuk turun kerana risau ada pemandu atau penumpang yang tidak boleh larikan diri. Allahuakbar, terkejut dibuatnya," tulis pemilik akaun itu.
Insiden kebakaran kereta tersebut turut dikongsikan di media sosial selepas pengguna jalan raya terkejut akan keadaan kenderaan berkenaan di bahu jalan.
Bagaimanapun, kisah di sebalik insiden itu adalah lebih mengejutkan kerana kereta terbabit dipandu mekanik yang menggunakannya tanpa pengetahun pemilik.
Dalam ruangan komen, pemilik TikTok Erin Heryy menyatakan pihaknya sedang berurusan dengan bengkel terbabit dengan dia turut berterima kasih akan suntikan semangat orang ramai.
"Saya pemilik kereta, ia sedang digunakan orang lain ketika itu. Saya hantar ke bengkel, tenang-tenang sahaja semua. Kami sedang berurusan dengan pihak terlibat, terima kasih atas doa kalian," tulisnya.
Komen ditinggalkan itu menceritakan bagaimana pemilik Toyota Estima tersebut masih dapat mengawal emosi meskipun tahu isu sedemikian adalah rumit untuk diselesaikan.
Melihat kepada perkongsian dan laporan semasa, tiada nyawa terkorban akibat kebakaran itu dengan ganti rugi perlu ditanggung mekanik dan bengkel atas kecuaian.
Kejadian itu seharusnya menjadi tauladan terhadap orang ramai supaya tidak sesuka hati menggunakan hak milik individu lain kerana sebarang insiden boleh terjadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram