
RAMAI antara kita mungkin menganggap meninggalkan botol air di dalam kereta bukanlah perkara besar sehinggakan ada yang menyimpannya berhari-hari dan bahkan berbulan-bulan di dalam kenderaannya.
Namun, seorang pengguna Facebook iaitu Iwan Wak, berkongsi pengalaman mencemaskan apabila perbuatannya yang menyimpan botol air dalam kereta hampir mengakibatkan kenderaannya itu terbakar.
Dalam hantaran yang kini tular, dia menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama ketika cuaca panas terik susulan botol air yang dibiarkan di dalam kenderaan boleh bertindak seperti kanta pembesar apabila terkena cahaya matahari.
BACA LAGI: Sejarah kelam bukan alasan wanita berniaga roti bantu lelaki kelaparan baru keluar penjara
BACA LAGI: ‘Klik Sebelum Gerak’, penumpang tidak pakai tali pinggang keledar akan disaman RM300 — JPJ
Kanta tersebut kemudiannya menumpukan cahaya ke arah satu objek sehingga menghasilkan haba yang cukup untuk mencetuskan asap, malah berpotensi mengakibatkan kebakaran di kawasan kereta.
“Perhatikan betul-betul. Kenapa bahaya tinggalkan botol air berisi dalam kereta. Lebih-lebih dalam cuaca panas. Tiba-tiba saja berasap dekat handbrake kereta. Puncanya kerana botol air ini umpama kanta.
"Cahaya akan tertumpu dekat objek atau kulit yang terkena cahaya. Boleh terbakar. Bahaya kan?” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Menurut Iwan, kejadian berbahaya berkenaan berlaku secara tiba-tiba ketika dia berada di dalam kereta.
Walaupun tiada kerosakan serius berlaku, pengalaman tersebut cukup memberi pengajaran kepadanya agar tidak memandang ringan perkara yang kelihatan kecil tetapi boleh mendatangkan bahaya besar.
Tangkap layar hantaran dari Iwan Wak.
"Tanpa kita sedar, tiba-tiba kereta boleh terbakar. Jadi janganlah selalu tinggalkan botol air yang berisi air di dalam kereta," ujarnya lagi.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya terkejut dengan penjelasan tersebut dan ramai mengakui tidak pernah mengetahui bahawa botol air boleh bertindak seperti kanta pembesar sehingga mampu membakar objek berhampiran.
Ada juga yang memuji langkah Iwan berkongsi pengalaman itu di media sosial kerana ia menjadi peringatan berguna kepada orang lain, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas ekstrem yang kini melanda negara.
“Selalu nampak botol air tertinggal dalam kereta, tak sangka boleh jadi punca kebakaran. Nasib baik sempat perasan sebelum jadi lebih serius,” tulis seorang pengguna Facebook, Abdulholik Holik.
"Betul itu, dah terjadi kepada saya," kata pemilik akaun Facebook, Zie Zie Zie Zie yang senada dengan lelaki itu.
Perkara itu turut menimbulkan kesedaran kepada orang ramai bahawa aspek keselamatan di dalam kenderaan tidak boleh dipandang remeh, walaupun sekadar membiarkan botol air di dalamnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram