'Tak tangguh kerja', usahawan muda cari rezeki cipta arca konkrit seawal usia 6 tahun


  • Bisnes
  • Rabu, 17 Sep 2025

Hasil seni kraf Colton Hill menjadi antara produk terkenal di kedai cendera mata sekitar Niagara, Kanada. — Agensi

 

 

BARU berusia 13 tahun, tetapi sudah mampu membuat langkah menceburi bidang perniagaan.

Meskipun belum menginjak dewasa, Colton Hill kini pengusaha seni kraf arca simen di sebuah butik, Handmade Presence di Garrison Village, Kanada.

Colton juga berkesempatan berkongsi perjalanan dan pengalaman berharganya sepanjang menjalankan perniagaan seawal usia enam tahun.

BACA LAGI: 'Adik tanya tapi ayah tak boleh jawab', ibu kongsi momen pilu anak bawa 'medal' di pusara

BACA LAGI: Aneka gaya rai Hari Malaysia, anak muda melaram jadi pahlawan Melayu, Minangkabau

Colton antara usahawan muda yang berjaya meluaskan perniagaan di Niagara. — Agensi

"Pada awalnya saya membela anjing saya, Titan yang diambil dari pusat perlindungan haiwan SPCA di Niagara, Kanada.

"Saya benar-benar mahu melakukan sesuatu untuk menyumbang semula kerana ketika saya lihat betapa kerasnya mereka di tempat perlindungan itu bekerja.

"Jadi, dua tahun kemudian, saya mula menghasilkan acuan rumah kecil menggunakan bancuhan konkrit berbentuk mancis dan menjualnya di hadapan rumah," katanya.

Separuh hasil jualannya kemudian didermakan kepada SPCA.

Tidak disangka perniagaannya mula berkembang dan mendapat permintaan sedikit demi sedikit.

Pasu bunga konkrit mendapat permintaan orang ramai sekitar Niagara. — Agensi

Menyedari respons positif masyarakat terhadap karyanya, Colton mendapat ilham untuk meneruskan usahanya.

"Hampir seluruh kejiranan tahu lokasi dan waktu saya menjual.

"Ketika itu, barulah saya sedar bahawa ini rupanya sebuah perniagaan sebenar," jelasnya.

Lebih mengujakan apabila perniagaan remaja berasal dari Welland, Kanada itu turut menjadi antara produk kraf terkenal di beberapa kedai cendera mata di Niagara.

Reka bentuk kraf Colton juga cukup unik dan penuh gaya.

Arca mancis antara idea awalnya dalam menjalankan perniagaan. — Agensi

Antaranya adalah pasu kecil berbentuk karakter popular dalam filem animasi Star Wars, Darth Vader, bekas mancis gaya kasut Nike serta hiasan konkrit bertemakan Halloween seperti labu mini, hantu, tengkorak malah wajah watak seram terkenal Michael Myers dan Jason Voorhees.

Sentuhan kreatifnya sekali gus menjadikan hasil seni konkrit kelihatan lebih moden dan menarik.

Namun, di sebalik keunikan produknya, Colton tetap memilih karya sentimental sebagai kegemarannya.

"Kalau saya perlu pilih yang paling saya suka, sudah tentu rumah mancis.

"Itu karya pertama saya dan ilham kepada perniagaan ini.

"Ketika itu saya berminat dengan seni bina, jadi apabila saya jumpa acuan rumah mancis, saya sangat mahu cuba.

"Saya tambah pelekat khas di tepi untuk menyalakan mancis dan itu menjadikannya istimewa," ujarnya.

Arca berbentuk kasut hasil ciptaan Colton. — Agensi

Bagi Colton, pengalaman berniaga sejak kecil mengajarnya pelbagai pengalaman berharga.

"Saya belajar kemahiran menjual di pasar dan pelbagai acara.

"Perniagaan ini mengajar saya tentang disiplin, menyiapkan kerja tepat pada masanya dan tidak menangguhkannya.

"Saya juga belajar tentang pentingnya perancangan untuk menyiapkan sesuatu dengan baik," katanya.

Malah, Colton kini bercadang untuk berkongsi lebih banyak teknik membuat seni konkrit serta tip keusahawanan yang dipelajari melalui saluran YouTubenya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram