'Adik tanya tapi ayah tak boleh jawab', ibu kongsi momen pilu anak bawa 'medal' di pusara


  • Bonda
  • Selasa, 16 Sep 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki membawa pingat kejayaan ke pusara bapanya. — Threads

KEHILANGAN insan tersayang pastinya bukanlah perkara mudah untuk ditanggung setiap manusia.

Meskipun tiada lagi jasadnya namun, kenangan dan memori bersama akan sentiasa menjadi pengubat rindu.

Begitu juga dengan situasi sedang dihadapi seorang wanita bersama anak lelakinya yang kehilangan sosok ketua keluarga lebih dua bulan lalu.

BACA LAGI: Aneka gaya rai Hari Malaysia, anak muda melaram jadi pahlawan Melayu, Minangkabau

BACA LAGI: Generasi baharu makin celik tradisi, ramai cakna makna di sebalik sambutan Hari Malaysia

 

 

Menerusi perkongsian pengguna akaun Threads @suddenly_someone baru-baru ini, pemergian suaminya itu sememangnya memberi kesan mendalam buat anaknya.

Lebih memilukan apabila anaknya bertindak membawa pingat kejayaannya ke pusara bapanya.

"Hujung tahun lepas (2024), adik beria bawa pingat dan tunjuk di wad. Ayah menangis sebab rasa ayah tak lama dan tak akan sempat tengok kejayaan adik.

"Adik memang pandai, selalu cemerlang. Tahun ini adik dan pasukan menang lagi peringkat negeri, adik bawa pingat ke rumah baharu ayah.

"Adik cakap 'ayah, ayah bangga tak dengan adik?'. Adik tanya tetapi ayah dah tak boleh jawab," tulisnya.

Tambahnya lagi, anak lelakinya itu juga banyak mewarisi sifat baik suaminya termasuk rajin membantu jiran serta menjaga sopan santun.

Dalam video berasingan, remaja berkenaan turut dilihat membantu menyiramkan air di pusara lain.

"Adik ini memang baik, macam ayah. Siram juga pokok di rumah jiran-jiran ayah.

"Satu perangai yang adik dan abang dapat daripada ayah adalah sopan santun, akhlak baik," luahnya.

Kisah itu sekali gus mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya mendoakan agar keluarga berkenaan terus cekal menghadapi ujian hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram