
DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera dirempuh bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut sebelum itu mengesan bot mencurigakan pukul 8 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) disyaki menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu dekat Sepang, Selangor.
BACA LAGI: Ketua warden arah matikan telefon awam asrama 2 hari selepas insiden Zara Qairina — Saksi
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
"Aset Bot Ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
"Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar, malah merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri.
Keadaan bot ronda APNM selepas dirempuh bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan PATI berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan pada Selasa. — Gambar APNM
"Akibat kejadian tersebut dua Laskar Kanan Maritim berusia 34 dan 36 tahun, masing-masing cedera di bahagian atas hidung dan di kaki serta tangan akibat hentakan dan dirawat di Hospital Port Dickson dan kini stabil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Salehuddin lagi, bot suspek dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan dan operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki mereka dan rangkaian penyeludupan yang terbabit.
Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
"Insiden ini membuktikan tugas anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram