
WARGA emas sering digelar tiang seri masyarakat kerana pengalaman, kebijaksanaan serta jasa yang mereka curahkan sepanjang hidup.
Namun, realitinya masih ramai golongan berusia ini berdepan cabaran hidup, terutama dari aspek kewangan, kesihatan dan sokongan sosial, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Apa yang membimbangkan, tidak semua warga emas mengetahui bahawa kerajaan sebenarnya menyediakan pelbagai bentuk bantuan khas untuk meringankan beban mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
BACA LAGI: [VIDEO] 'Samping ini aku paling sayang', pelajar Malaysia sempat beri hadiah, solat Jumaat terakhir di AS
Program ini bukan sahaja memastikan kebajikan golongan berusia terpelihara, malah membuka ruang agar mereka kekal aktif serta tidak tersisih daripada pembangunan negara.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga jenis bantuan utama yang disediakan kerajaan untuk warga emas tanpa mengira jantina dan bangsa:
1. Bantuan Warga Emas (BWE)
Bantuan BWE diwujudkan untuk memastikan warga emas mampu meneruskan kelangsungan hidup, terutama bagi yang tiada pendapatan tetap atau mereka yang tiada anak. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
BWE ialah bantuan kewangan bulanan sebanyak RM600 yang disalurkan kepada warga emas kurang berkemampuan.
Ia diwujudkan untuk memastikan mereka mampu meneruskan kelangsungan hidup, terutama bagi yang tiada pendapatan tetap atau warga emas yang tiada anak (sebatang kara).
Syarat kelayakan termasuklah warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas, berpendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), serta tidak tinggal di institusi jagaan kendalian kerajaan.
Bagi warga emas sebatang kara, mereka masih boleh dipertimbangkan walaupun tinggal bersama ahli keluarga atau penjaga.
Selain membantu menampung kos sara hidup, BWE turut menjadi pengiktirafan kerajaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Anda juga boleh mendapatkan borang permohonan di Pejabat JKM atau muat turun dari portal rasmi eBantuan.
2. Seniors Back In Action (SEBA)
Inisiatif SEBA diwujudkan di bawah Program Latihan MADANI (PLM) oleh HRD Corp untuk memperkasa warga emas melalui upskilling dan reskilling.— Gambar Hiasan/Janaan Ai
Tidak semua warga emas mahu berehat sepenuhnya selepas bersara. Ada yang masih mahu aktif dalam masyarakat, melakukan kesukarelawanan atau menambah kemahiran baharu.
Justeru, inisiatif SEBA diwujudkan di bawah Program Latihan MADANI (PLM) oleh HRD Corp untuk memperkasa warga emas melalui upskilling dan reskilling.
Objektifnya termasuk meningkatkan pengetahuan, membolehkan mereka menjana pendapatan, serta mengurangkan beban kewangan melalui peluang pekerjaan produktif.
Malah, program ini turut memberi ruang agar warga emas terus diterima dalam dunia pekerjaan.
Syarat kelayakan menetapkan peserta mestilah warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas.
Mereka boleh mendaftar maksimum dua kursus setahun, manakala penyedia latihan pula perlu berdaftar dengan HRD Corp dan mematuhi garis panduan tertentu.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi Human Resource Development Corporation (HRDCorp) atau rujuk Garis Panduan Seniors Back In Action
3. Unit Penyayang Warga Emas (UPWE)
Bantuan UPWE memastikan warga emas tidak terabai, sekali gus membantu mereka mendapatkan rawatan secara berkala tanpa masalah mobiliti. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
UPWE pula menumpukan kepada warga emas yang tinggal sendirian atau memerlukan penjagaan khas.
Unit ini mengatur pelbagai sokongan seperti pemantauan kesihatan, khidmat komuniti dan kemudahan pengangkutan ke hospital atau klinik kesihatan.
Langkah ini penting bagi memastikan warga emas tidak terabai, sekali gus membantu mereka mendapatkan rawatan secara berkala tanpa masalah mobiliti.
Permohonan boleh dibuat melalui borang di pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri sebelum dinilai dan diselaraskan oleh pihak berwajib.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman Facebook Jabatan kebajikan Masyarakat negeri masing-masing.
Kesedaran perlu dipertingkatkan
Walaupun ketiga-tiga inisiatif ini sudah lama diperkenalkan, tahap kesedaran masih rendah.
Ramai warga emas tidak tahu prosedur permohonan, malah ada yang tidak menyangka mereka layak menerima bantuan tersebut.
Secara keseluruhan, BWE, SEBA dan UPWE membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas. Ia bukan sekadar ihsan, sebaliknya satu penghargaan terhadap jasa mereka yang pernah berbakti kepada pembangunan negara.
Sehubunan itu, dengan adanya sokongan sebegini, warga emas dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan bermakna, sekali gus terus dihargai sebagai sebahagian penting dalam masyarakat Malaysia yang harmoni.
Untuk maklumat lanjut mengenai semua bantuan tersebut, anda boleh melayari laman web https://manfaat.mof.gov.my/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram