
LEBIH 18,000 peserta membanjiri stesen-stesen kereta api bagi memeriahkan acara tahunan Keretapi Sarong 2025 yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Sabtu.
Memasuki edisi kesembilan, program anjuran sebuah organisasi mempromosikan aktiviti kebudayaan, LOCCO itu memilih tema 'Serumpun' yang membawa mesej perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan tradisional Malaysia.
Memulakan perjalanan seawal pukul 7 pagi di 10 stesen Rapid KL secara serentak iaitu Subang Jaya, Gombak, Kajang, Muzium Negara, Mutiara Damansara, Sri Damansara Sentral, UPM, Kinrara BK5, Ampang dan Hang Tuah.
BACA LAGI: Haram 'tadah' wajah dirias jurusolek lelaki kecuali darurat, jangan buka ruang fitnah
Peserta yang sanggup bersiap awal pagi bagi memeriahkan Keretapi Sarong 2025. — The Star/Raja Faisal Hishan
Suasana bertambah meriah apabila semua peserta berkumpul di stesen Bukit Bintang untuk berarak ke lokasi kemuncak iaitu di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, peserta tampil bergaya dengan pelbagai busana klasik dengan kain sarung atau batik berwarna-warni.
Lebih istimewanya apabila melihat peserta berusia 40 tahun ke atas dan kanak-kanak sporting mengambil bahagian menyertai pelbagai aktiviti disediakan.
Dari busana Melayu, Cina, India hingga ke Borneo, rata-ratanya hadir dengan persalinan tradisional setiap etnik di Malaysia.
Antara aktiviti menarik yang disediakan untuk orang ramai.
Setahun yang lalu, pempengaruh, Khairul Aming menggegarkan Matic Kuala Lumpur dengan ucapannya yang bersemangat.
Kali ini, kemunculan penyanyi, Aina Abdul pula memeriahkan acara dengan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara di hadapan ribuan peserta di TRX.
Penyanyi berusia 31 tahun itu manis menggayakan kebaya putih merah jambu ditambah corak dan motif bunga rekaan pereka fesyen, Rashid Moshi.
Persembahan muzik, tarian tradisional, permainan rakyat serta aktiviti interaktif lain sekali gus mewujudkan suasana harmoni sesama masyarakat.
Ditambah pula dengan lebih 10 reruai dan jenama terkenal seperti Bulan Bintang, Tudung Ruffle, Zus Coffe, Yeos dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram