
GEORGE TOWN dinobatkan sebagai salah satu daripada 10 bandar makanan jalanan (street food) terbaik di Asia oleh Time Out, panduan media dan hospitaliti antarabangsa, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pelancong gastronomi.
Menerusi senarai terbaharu bertarikh 8 September, Time Out meletakkan Pulau Pinang di tangga teratas, dengan menyifatkan bandar itu sebagai syurga makanan.
Penulis Katie Lockhart menggambarkan George Town sebagai sebuah kota berbilang budaya dengan pengaruh Melayu, Cina, Peranakan dan India yang masing-masing meninggalkan jejak dalam budaya makanan tersohor di bandar tersebut.
BACA LAGI: Remaja gemar nasi ayam sanggup kerja di restoran, timba ilmu perniagaan asas runcit
BACA LAGI: Banyak perniagaan di Ipoh tutup awal, ada keperluan tambah aktiviti galak hiburan malam
Nasi ayam tersenarai sebagai makanan jalanan popular di Singapura. — Time Out
Antara hidangan wajib cuba yang diketengahkan ialah kuetiau goreng (char keutiau), yang disifatkannya sebagai menu utama di negeri Pulau Mutiara itu.
Beliau turut menyenaraikan asam laksa, roti canai dan mi Hokkien sebagai sajian klasik yang mencerminkan gabungan rasa unik Pulau Pinang.
“Kalau anda bertanya penduduk tempatan di mana tempat terbaik untuk menikmati setiap hidangan itu, anda pasti akan menerima jawapan yang berbeza,” selorohnya.
Pengiktirafan ini tidak mengejutkan rakyat Malaysia, memandangkan Pulau Pinang sudah lama dianggap sebagai destinasi popular makanan jalanan negara.
George Town secara khusus sering menjadi tumpuan penulis makanan antarabangsa serta panduan tersohor termasuk Michelin Guide.
Selain Pulau Pinang yang meraih tempat teratas, senarai itu turut mengiktiraf destinasi Asia lain yang terkenal dengan budaya makanan jalanan masing-masing.
Pho antara hidangan 'street food' Vietnam yang terkenal. — Gambar hiasan/ The Star
Hanoi, misalnya, diiktiraf melalui hidangan bun cha dan pho (mi bersama sup yang dihidangkan dengan bebola daging atau hirisan daging dan herba).
Singapura pula kerana budaya penjaja yang diiktiraf Unesco serta hidangan nasionalnya iaitu nasi ayam Hainan.
Mumbai turut tersenarai melalui kudapan pedas seperti vada pav, Chiang Mai (mi kari khao soi) manakala Tainan di Taiwan (sup daging lembu).
Di Jepun, Osaka menonjol sebagai ‘dapur negara’, terkenal dengan takoyaki dan okonomiyaki; sementara Bangkok, Thailand digambarkan sebagai pusat makanan jalanan paling ikonik di Asia dengan hidangan telur dadar ketam dan pulut mangga.
Phnom Penh, yang sering dipandang sepi, turut tersenarai kerana sup mi beras serta hidangan pedas, manakala Chengdu di China melengkapkan senarai 10 teratas.
Ia dianggap pusat masakan Sichuan yang terkenal dengan mapo tofu dan mi dan dan (mi bersama sayur jeruk, daging dan minyak cili) yang menyelerakan. — The Star / SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram