Jangan jadikan anak ikan keli Afrika goodies tetamu majlis, risiko ganggu ekosistem tempatan


  • Massa
  • Selasa, 16 Sep 2025

Perkongsian di media sosial menceritakan bagaimana pengantin menyediakan anak ikan keli Afrika sebagai goodies pengantin. — Facebook/Jejak Air Tawar

MASYARAKAT hari ini sudah semakin kreatif dalam memilih cenderahati atau lebih sinonim dengan doorgift untuk diberikan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan.

Meskipun perlu berbelanja lebih banyak, pemberian yang luar dari kebiasaan akan terus diingati dan bakal disebut-sebut sesiapa sahaja yang teruja akan goodies diterima.

Tetapi, baru-baru ini, tindakan keluarga pengantin untuk memilih beberapa jenis haiwan kecil sebagai doorgift dalam sebuah majlis di Selama, Perak menjadi buah mulut pengguna media sosial.

BACA LAGI: Bagi makan ikan di tasik? Ini 5 lokasi patut anda cuba

BACA LAGI: Ternak ikan keli dalam lubang jamban selama 2 bulan, lelaki kongsi 'tutorial' masak sedap

Beberapa haiwan disediakan sebagai goodies pada majlis perkahwinan itu. Facebook/Jejak Air Tawar

Perkara berkenaan diutarakan menerusi laman Facebook Jejak Air Tawar yang berpandangan pilihan tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi berkaitan pemberian anak ikan keli Afrika.

Seperti mana diketahui ramai, haiwan yang nama saintifiknya Clarias gariepinus merupakan spesies asing invasif sekiranya dilepaskan ke perairan hingga boleh merosakkan ekosistem.

Jadi, sekiranya terdapat tetamu yang berbuat demikian, ini akan mencetuskan isu terhadap populasi ikan tempatan seperti mana dialami di pelbagai sungai seluruh negara.

"Ini adalah satu risiko yang amat besar jika tetamu menerima goodies anak ikan Keli Afrika akan melepaskannya di perairan kerana bukan semua orang berminat nak pelihara.

"Sebagai alternatif, boleh berikan goodies anak ikan tempatan seperti ikan puyu, lampam sungai atau sepat ronggeng, ketiga-tiga ikan ini sudah banyak dijual dan harganya murah," tulisnya.

Ikan keli Afrika boleh mengganggu ekosistem sekiranya terus dilepaskan ke perairan tempatan.

Masalah berhubung ancaman ikan keli Afrika terhadap ekosistem sudah berkali-kali disuarakan, termasuk di Sarawak sehingga program pemburuan ikan asing invasif diadakan pada Mei lalu bagi mengatasi isu terbabit.

Selain itu, beberapa negeri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan spesis tersebut dengan mewartakannya sebagai ikan larangan dalam perairan.

Dalam hantaran tersebut juga, pemilik akaun menyertakan kad hantaran yang memaparkan beberapa haiwan lain, termasuk anak ayam berwarna-warni dengan tindakan tersebut seakan-akan satu bentuk penyeksaan.

Jadi, bagi mengelak pemberian sedemikian dicontohi orang lain, pengguna tersebut menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan atau memberi didikan terhadap masyarakat.

"Saya mohon sangat Jabatan Perikanan Negeri Perak (DOF Perak) untuk lakukan sesuatu sebagai pengajaran dan peringatan. Jika tidak, perkara begini tetap akan berulang berkali-kali kerana masih ramai orang menganggap ia perkara biasa dan bukan satu kesalahan.

"Jika mereka tidak tahu pun tentang spesies ikan, itu pentingnya pendedahan, panduan dan ketegasan setiap masa oleh semua cawangan. Ini kerana sudah tentu ikan tersebut diperolehi dari penternak yang kebanyakannya berdaftar dengan DOF," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram