
TINDAKAN penempatan semula burung kategori invasif seperti gagak bukanlah penyelesaian sebenar, sebaliknya hanya memindahkan masalah ke lokasi lain.
Istilah 'invasif' merujuk kepada spesies burung asing atau luar yang mampu menyesuaikan diri dengan cepat serta bersaing dengan spesies tempatan, sehingga berpotensi menjejaskan keseimbangan ekosistem.
Itu antara penegasan yang disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekonomi Alam (NEST), Sulaiman Salikin, ketika ditemui Majoriti pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu Ogos lalu.
BACA LAGI: Johor bina lintasan hidupan liar pertama di Kahang-Mersing, dijangka siap tahun 2028
Sulaiman (dua dari kanan) dalam sesi pod siar di Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF di Terengganu Ogos lalu.
Menurutnya, burung spesies invasif berisiko tinggi mengganggu keseimbangan ekosistem kerana bersaing dengan spesies tempatan bagi mendapatkan makanan dan habitat.
“Kalau kita pindahkan burung dari lokasi A ke lokasi B, masalahnya tak selesai. Ia akan terus membiak di tempat baharu dan memberi kesan negatif kepada persekitaran,” katanya.
Beliau menambah, tindakan penempatan semula burung seperti itu sebenarnya hanya menyumbang kepada masalah baharu.
“Kita mungkin rasa lokasi asal sudah terkawal, tetapi bila burung itu dibawa ke kawasan lain, populasinya tetap akan berkembang. Akhirnya, dua-dua lokasi terkesan,” jelasnya.
Selain itu, Sulaiman menjelaskan, burung invasif juga mampu menyebarkan penyakit serta mencemarkan kawasan melalui najis, sekali gus menjejaskan kualiti hidup penduduk.
“Ada sebab kenapa sesetengah pihak diberi permit menembak gagak, kerana ia sudah dianggap indikator negatif dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi.
Isu tersebut dibawa ke perhatian masyarakat menerusi Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang menampilkan konsep 'edutainment' untuk mendekatkan pengunjung kepada aspek kelestarian sawit dan konservasi hidupan liar.
Program berkenaan berjaya menarik kehadiran seawal pagi dengan pelbagai lapisan masyarakat memenuhi ruangan centre court pusat beli-belah berkenaan.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menekankan peranan NEST yang bekerjasama rapat dengan MPOGCF dalam usaha pendidikan komuniti berkaitan burung dan ekosistem.
“Kami mohon bantuan MPOGCF bila kami lakukan beberapa program berkaitan burung. Mereka juga perlukan penglibatan komuniti yang lebih dekat.
"Jadi, apabila ada program melibatkan burung, kami akan bekerjasama supaya mesej yang nak disampaikan sampai kepada orang ramai dan pada masa yang sama, kami juga dapat belajar bersama,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram