
SEORANG lelaki meluahkan rasa geram selepas disaman RM300 kerana didakwa memiliki lesen memandu tamat tempoh, walhal lesen tersebut masih sah dan diperbaharui tahun lalu.
Dalam perkongsian di laman Facebook, Mije Snakemaster menceritakan detik cemas tesebut apabila ditahan di sekatan jalan raya polis trafik di Teluk Intan, Perak pada Rabu.
Dakwanya, pada waktu kejadian, dia menunjukkan lesen melalui aplikasi MyJPJ, tetapi sistem memaparkan lesen memandunya itu tamat tempoh sejak 2023.
“Jantung berdegup kencang, tangan dah mula bergetar, macam kena patuk ular berbisa. Saya yakin sudah perbaharui lesen, tapi sistem tetap kata tamat tempoh,” katanya.
Walaupun menjelaskan keadaan itu kepada anggota polis, Mije mendakwa saman tetap dikeluarkan atas kesalahan memandu dengan lesen tamat tempoh.
Susulan kejadian itu, Mije pulang ke rumah untuk mengambil lesen fizikal yang sah dab bergegas kembali ke lokasi sekatan tersebut bagi membuktikan dirinya tidak bersalah, namun polis telah tiada di lokasi berkenaan.
Mije kemudian ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) berdekatan untuk membuat laporan.
"Bermulalah karenah birokrasi di sini. Abang ke kaunter saman trafik dan cuba jelaskan apa yang berlaku.
"Kebetulan datang anggota trafik yang ada pada ketika abang disaman, lihat bukti yang abang tunjukkan.
"Dituduhnya abang baharu perbaharui sebab lesen fizikal abang kelihatan baru. Abang cakap abang tiada masa nak buat dan tuan boleh check sendiri dalam sistem yang saya renew tahun 2023 lagi,"katanya.
Jelas Miji, pegawai polis yang bertugas terus mengambil lesen dan surat saman tersebut untuk diperiksa semula.
"Dia ambil lesen dan kertas saman masuk ke dalam pejabat. Tunggu punya tunggu dia minta abang datang semula kerana pegawai tengah waktu rehat ketika itu.
"Abang malas nak tunggu sebab ada kerja kena settle. Anak rakun tak susukan lagi, burung-burung tak suap lagi, musang dan haiwan lain semua belum makan.
"Abang keluar tadi sebab nak cari botol susu baby rakun je pun. Harga RM5 dibalas dengan saman rm300," tulisnya kecewa.
Lelaki itu turut menyeru pihak berkuasa atau peguam tampil membantu menyelesaikan isu saman yang dianggap menyusahkan rakyat, malah tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pembaca turut berkongsi pengalaman mereka.
Seorang pengguna Facebook, Amin Razali menceritakan dia pernah berada dalam situasi serupa apabila aplikasi tidak boleh dibuka dan pelekat cukai jalan (roadtax) yang terpampang di cermin kenderaan sudah tamat tempoh.
Dia berkeras bahawa roadtax masih sah dan memaksa anggota polis menyemak menggunakan aplikasi mereka sendiri, akhirnya didapati roadtax masih aktif.
Sementara itu, Hanief Harun pula menyatakan rasa pelik kerana jika telefon bimbit mengalami masalah, pihak berkuasa sepatutnya mempunyai peranti lain untuk menyemak lesen menggunakan nombor kad pengenalan.
"Pelik jugak, kalau telefon pintar kita bermasalah, mereka patut ada device yang boleh check lesen kita menggunakan kad pengenalan ke? Ini senang-senang keluar saman. Kelemahan sistem yang kerajaan buat tetapi kita yang kena tanggung. Senang buat duit macam itu," katanya.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung dakwaan mangsa setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram