
PELBAGAI kes melibatkan penyalahgunaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dikongsikan di media sosial apabila penerima mengeluh selepas terdapat pihak lain dengan mudah menggunakannya.
Insiden sedemikian kerap berlaku apabila kad pengenalan tercicir atau dicuri mana-mana individu tidak bertanggungjawab sehingga menyaksikan bantuan RM100 itu habis digunakan.
Kes terbaru melibatkan isu berkenaan mula tular di media sosial sejak Khamis setelah pengguna TikTok, nizamdyy memuat naik sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di akaun peribadinya.
BACA LAGI: Pemilik bisnes belanja wang SARA bantu individu memerlukan, bahagia lihat orang lain gembira
BACA LAGI: Bantuan SARA RM100 jadi modal anak gadis berniaga kek batik indulgence, tiramisu di Bangi
Pelbagai isu mula dibangkitkan berhubung bantuan RM100 menerusi inisiatif SARA setakat ini.
Dalam video berdurasi seminit 17 saat itu, kelihatan dua pengunjung kedai serbaneka dipercayai suami isteri membuat bayaran menggunakan MyKad dengan barangan dibeli terkandung dalam senarai produk SARA.
Namun, pengguna TikTok itu menyatakan bahawa transaksi dibuat menggunakan kad pengenalan miliknya dengan kerugian cukup besar ditanggungnya disebabkan salah laku individu berkenaan.
"Minta jasa baik semua, sesiapa yang mengenali kakak dan abang ini, mohon beritahu mereka supaya berjumpa dengan saya dan suami dengan kadar segera.
"Suami saya sudah kehilangan kad pengenalan dan kakak dan abang dalam video ini seronok berbelanja sakan menggunakan bantuan SARA kami dengan anggaran jumlah hampir RM400, laporan polis sudah dibuat. Kami penat kumpul tidak mahu gunakannya. Empat kali transaksi sudah dibuat," tulisnya.
Meskipun setiap individu layak hanya menerima RM100 daripada bantuan itu, terdapat kemungkinan pengguna TikTok itu turut berada dalam senarai penerima bantuan lain daripada kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Kapsyen yang ditinggalkan dalam video itu turut menyertakan empat lokasi pembayaran menggunakan bantuan SARA dibuat dengan keempat-empat daripadanya dilakukan sekitar Jeram, Sg Buloh, Selangor.
Tinjauan di ruangan komen mendapati wanita dalam rakaman CCTV itu sudah ditahan sementara satu komen lebih awal daripada pengguna, Asyikin Eykin menyatakan pegawai penyiasat sudah memperoleh video berkenaan.
"Untuk pengetahuan semua, saya dan suami sudah buat laporan polis. IO (pegawai penyiasat) tunggu rakaman dari CCTV kedua-dua kedai serbaneka itu. Insya-ALLAH, doakan kami dapat kembali hak kami. Bukan RM100 atau RM200, ini RM400 memang saya haramkan," tulisnya.
Setakat ini, pihak polis Sg Buloh masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut, namun perkongsian daripada pemilik TikTok itu cukup untuk menceritakan keadaan semasa kes terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram