
SEORANG pengguna TikTok meluahkan rasa kecewa selepas kenderaan jenis Toyota Alphard miliknya disita oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Ops Luxury Car pada 30 Ogos lalu.
Menerusi hantaran yang dikongsi akaun dblanche shop, wanita berkenaan mendakwa keretanya dirampas oleh tiga pegawai JPJ walaupun dia cuba merayu untuk memperbaharui cukai jalan (roadtax) ketika itu juga.
Menurutnya, insiden berlaku di hadapan anak kecilnya sehingga menyebabkan mereka menangis ketakutan.
Malah, kenderaan itu juga penuh dengan barang niaga kerana dia dalam perjalanan untuk membuka gerai jualan di Pasar Dinda pada hari berkenaan.
BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Keluarga lancar tabung sokong kos perjalanan, penginapan saksi
BACA LAGI: 'Pop up market' jambatan sotong dekat Komtar rancakkan ekonomi, cegah aktiviti vandalisme
"Saya terus merayu siap hubungi agen insurans depan pegawai untuk hidupkan roadtax serta-merta. Saya mohon disaman saja, sebab memang nak renew on the spot. Tapi rayuan langsung tak dilayan.
"Anak saya menangis dalam kereta, saya jelaskan itu kereta arwah suami, risau urusan nak tebus nanti jadi rumit. Pegawai cuma jawab: Kalau dah hidupkan roadtax, bawa geran boleh ambil balik. Tapi akhirnya kereta tetap juga disita," kongsinya.
Wanita itu turut menjelaskan bahawa kenderaan tersebut adalah milik arwah suaminya yang sudah habis dibayar (payoff) dan tidak lagi terikat dengan pinjaman bank, namun JPJ enggan melepaskannya atas alasan dia tidak mempunyai dokumen sah sebagai pentadbir harta.
“Ini bukan kereta penjenayah, bukan kereta dadah. Ini kereta keluarga, kereta arwah suami yang saya gunakan untuk hantar empat orang anak kecil ke sekolah, untuk berniaga, untuk urusan hidup seharian.
"Saya memang betul-betul tertekan. Hidup makin susah tanpa kenderaan utama. JPJ tolong bertimbang rasa lah. Atau semua pegawai hanya tahu ikut SOP membuta tuli macam robot?
"Saya berdoa yang susah kan urusan saya nak ambil balik hak saya dan anak-anak dengan alasan SOP ini semoga anak isteri dia rasa balik satu masa nanti apa yang saya rasa," luahnya.
Wanita itu mendakwa SOP yang digunapakai JPJ dilihat tidak bertimbang rasa dan hanya menyusahkan golongan seperti dirinya yang bergantung penuh kepada kenderaan untuk mencari rezeki.
Sehingga kini, dia masih berusaha untuk menuntut semula kereta tersebut setelah memperbaharui cukai jalan, namun berdepan kekangan dokumentasi pewarisan yang diperlukan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram