
KENDERAAN jenis Toyota Alphard milik seorang ibu tunggal yang disita oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Ops Luxury Car pada 30 Ogos lalu kerana cukai jalan tamat tempoh baru-baru ini mencuri perhatian warganet.
Menerusi perkongsian video di TikTok melalui akaun dblanche shop, wanita itu sekali lagi menegaskan bahawa kereta peninggalan arwah suaminya itu bukan sekadar kenderaan, sebaliknya mempunyai nilai sentimental kerana menjadi hasil titik peluh mereka bersama.
Menurutnya, ketika operasi itu dijalankan, dia cuba memperbaharui cukai jalan di hadapan pegawai bertugas dengan menghubungi ejen insurans, namun proses tersebut tidak diterima kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
BACA LAGI: 'Pop up market' jambatan sotong dekat Komtar rancakkan ekonomi, cegah aktiviti vandalisme
“Dalam kereta ketika itu ada anak-anak kecil saya yang menangis ketakutan dan dipenuhi dengan barang niaga kerana itu merupakan hari pertama saya cuba membuka booth untuk mencari rezeki selepas kehilangan suami.
"Saya minta saman sahaja, tetapi pegawai tetap berkeras untuk menyita kenderaan. Kereta itu bukan sekadar kenderaan. Kenangan arwah, hasil titik peluh kami bersama," luah wanita berkenaan pada hantaran terbaharunya di laman TikTok.
Wanita itu menjelaskan, meskipun insurans dan cukai jalan telah diperbaharui selepas penyitaan dilakukan, proses untuk mendapatkan semula kenderaan berkenaan terlalu rumit bagi dirinya sebagai balu.
Lebih menyedihkan apabila pemilik akaun TikTok berkenaan turut berdepan tuduhan tidak berasas daripada segelintir netizen yang mendakwa sengaja melambatkan proses faraid harta arwah suami.
Tangkap layar hantaran terbaharu daripada dblanche shop.
"Ada yang cuba menuduh saya sengaja melambatkan proses faraid sedangkan kalian tidak tahu isu sebenar kenapa urusan harta arwah tergantung lama. Selepas suami saya meninggal, beberapa bulan kemudian ayah dia meninggal.
"Selepas dua bulan ayah dia meninggal, abang dia pula meninggal. Semuanya meninggalkan isteri dan anak-anak-anak. Jadi faraid dah jadi tiga lapisan. Bila berbincang dengan pihak trustee co arwah suami lantik untuk jadi saksi wasi pembahagi harta beliau.
"Kami dan ahli keluarga arwah semua semua sepakat untuk lantik saya sebagai pentadbir untuk berurusan dengan pesaka kecil. Saya baru dalam usaha nak uruskan semua ini, terkena kes JPJ ini pula," tambahnya.
Selain itu, dia turut menyatakan rasa kesal apabila ada pihak mengejek kehidupannya dengan mengaitkan status ekonomi B40 dan penggunaan kereta mewah, malah ada yang menjadikan insiden berkenaan sebagai bahan jenaka.
Walaupun dihujani pelbagai komen sinis, wanita berkenaan tetap berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kebaikan dan memberi kata-kata semangat terhadap dirinya dan keluarga.
Sebelum ini Majoriti melaporkan JPJ menyita kenderaan wanita itu di hadapan anak kecilnya sehingga menyebabkan mereka menangis ketakutan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram