
BAGI kebanyakan pemilik kenderaan, dashboard cover (pelapik papan pemuka) hanya dianggap sebagai aksesori tambahan bagi mencantikkan ruang dalaman kereta.
Namun, pengalaman seorang pengguna Facebook, Rothstein Jeti, membuka mata ramai pihak bahawa aksesori itu boleh mendatangkan risiko keselamatan yang besar.
Dalam perkongsiannya, wanita itu menceritakan insiden kemalangan yang dialami minggu lalu sehingga menyebabkan beg udara (airbag) keretanya terbuka.
“Selepas kejadian barulah saya sedar, dashboard cover sebenarnya tidak membawa apa-apa manfaat keselamatan.
"Bayangkan kalau ia ditampal dengan kuat menggunakan double tape, mungkin airbag gagal berfungsi kerana terhalang. Ketika itu, risiko kecederaan lebih serius pasti berlaku,” katanya pada Selasa.
Lebih membimbangkan, jelasnya, penggunaan pelapik itu juga boleh menjejaskan tuntutan insurans.
"Hal ini kerana pihak insurans berhak menolak tuntutan dengan alasan ia dikategorikan sebagai pengubahsuaian tidak sah yang menutup ruang operasi airbag," katanya lagi.
Namun begitu, dalam kes yang dialami, airbag tetap berfungsi dengan baik walaupun dashboard cover terkoyak akibat letupan, membolehkannya membuat tuntutan insurans.
Perkongsian tersebut mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet, malah ada yang berpendapat pengguna kenderaan perlu lebih berhati-hati memilih aksesori agar tidak menjejaskan fungsi asal sistem keselamatan.
“Patutlah insurans pernah tolak tuntutan saya dulu, rupanya sebab dashboard cover dianggap ubah suai tak sah,” kata Marilyn Anyu.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Agustine Bunyau berkata, dia pernah mengalami situasi hampir sama.
“Saya pun pernah kena, masa itu airbag lambat keluar sebab macam tersekat sebab menggunakan dashboard cover. Mujur tak cedera teruk,” katanya.
Hakikatnya, isu kecil seperti dashboard cover boleh memberi kesan besar jika tidak diteliti. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu dan penumpang, malah boleh merugikan apabila tuntutan insurans ditolak.
Kesedaran sebeginilah yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat aspek keselamatan tidak sepatutnya dikompromi demi kecantikan dalaman kereta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram