[VIDEO] Pengorbanan mencari rezeki, ibu terpaksa minta polis jaga anak demi tugas menghantar makanan


  • Bonda
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Seorang ibu yang bekerja sebagai penghantar makanan terpaksa meninggalkan anak kecilnya di balai polis berikutan cuaca hujan lebat.

HUJAN lebat yang turun tidak menghalang seorang ibu yang bekerja sebagai penghantar makanan di Hebei, China untuk meneruskan tugasnya. 

Namun, demi keselamatan anak kecil yang dibawanya bersama, wanita itu akhirnya mengambil keputusan untuk singgah ke sebuah balai polis bagi mendapatkan bantuan sementara.

Momen menyentuh hati itu dirakam dalam satu video yang kini tular di media sosial.

BACA LAGI: Belum umur 30 tahun sudah pradiabetes, doktor bongkar kes wanita diet ketat demi kurus, jelaskan punca sebenar

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar tinggal serumah, ini beberapa amalan sebelum tidur yang ramai pasangan abaikan

Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan dengan keadaan basah kuyup merayu kepada anggota polis agar anaknya dapat ditinggalkan di situ kerana tiada siapa di rumah untuk menjaganya.

"Hujan turun. Saya sedang menghantar makanan bersama anak saya. Di rumah tiada sesiapa. Boleh saya tinggalkan dia di sini sekejap?" katanya.

Anak kecil itu turut dipujuk oleh ibunya dengan nada lembut, “Ibu akan datang semula untuk ambil kamu nanti.”

Tanpa berlengah, seorang anggota polis wanita menukar pakaian anak kecil tersebut, mengeringkan tubuhnya dan memakaikannya baju bersih. 

Apabila kanak-kanak itu akhirnya terlelap, anggota polis wanita itu mendakapnya dengan penuh kelembutan sehingga si ibu kembali.

Tidak lama kemudian, ibu berkenaan kembali ke balai polis untuk mengambil anaknya itu yang ketiduran.

Dengan penuh rasa syukur, ibu itu mengucapkan terima kasih kepada anggota polis wanita tersebut kerana menjaga anaknya dengan penuh keikhlasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram