[VIDEO] Lima penuntut IKM maut tersepit, nahas babit 2 kenderaan dekat Pusat Latihan RELA Tuaran


  • Tular
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Menurut laporan awal, kesemua mangsa lelaki berusia 19 hingga 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. — Facebook/Info X

LIMA penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Sulaman, berhampiran Pusat Latihan RELA, Tuaran, Sabah pada Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, kesemua mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaan jenis Toyota Wish.

Menurut maklumat awal, pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas babit 3 sefamili di Pelabuhan Klang, pemandu treler gilis wanita gagal tahan sebak peluk anak mangsa

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak nak bayar boleh cau', ulat parkir biadab, makin besar kepala di Pasar Seni

Kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Sulaman dikongsikan di laman Facebook, INFO X.

"Lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Sulaman, berhampiran Pusat Latihan Rela, Tuaran.

"Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, semua mangsa lelaki berusia 19 hingga 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Difahamkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan Toyota Wish, dikeluarkan oleh pasukan bomba," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Mayat semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Harianto Anuar, 20, Neil Stanly Pletinie, 20, Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, dan seorang lagi lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya.

Sementara itu, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. — The Star/REBECCA CHONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram