
SEBUAH gerai menjual sate dan tongseng di Jakarta Pusat, Indonesia kini menjadi tumpuan warga setempat selepas menunya yang unik mereka tular di media sosial.
Dikenali sebagai 'tongseng anti-kolesterol', hidangan itu dikatakan bukan sahaja enak, malah dimasak dengan ramuan rahsia yang diwarisi sejak lebih 30 tahun lalu.
Tongseng merupakan sejenis masakan berkuah masyarakat tradisional Jawa Tengah yang biasanya menggunakan daging kambing, ayam atau lembu.
BACA LAGI: 'Umur 11 tahun terlalu naif', ramai ibu temankan anak keluar berjalan dengan kawan
Masakan tongseng Pak Kadir yang digemari masyarakat sekitar Jakarta Pusat. — Agensi
Ia dimasak dengan kuah pekat berempah mirip seperti gulai tetapi lebih manis dan masam dengan campuran kubis, tomato, santan dan kari.
Pemilik gerai yang dikenali sebagai Pak Kadir mendedahkan bahawa menu tersebut sudah dijual sejak 1992 oleh bapanya sebelum mengambil alih perniagaan itu sejak 1995 sehingga kini.
Terletak di belakang taman perumahan dan perhentian bas, Gerai Tongseng Pak Kadir mengambil ruang jalan yang sempit untuk menjual dan memasak kesemua menunya.
Lokasinya juga tidak pernah berubah, sekali-sekala hanya beralih dua hingga lima meter dari tempat asal.
Digelar hidangan anti-kolesterol
Pak Kadir menjelaskan bahawa jolokan 'anti-kolesterol' bukan sahaja diperkenalkan ketika gerai dibuka.
Katanya, nama 'tongseng anti-kolesterol' dikatakan sudah dicipta kira-kira sembilan tahun lalu dan berpunca daripada kebimbangan Pak Kadir.
"Ia sering dipanggil sedemikian kerana kami menggunakan ketulan nanas di sini.
"Pada mulanya saya bimbang daging tongsengnya tidak empuk.
"Akhirnya, kami mengetahui tentangnya dalam talian dan mendapati bahawa nanas boleh membantu melembutkan daging.
"Ia juga bagus untuk menurunkan kolesterol, jadi kami mencubanya," katanya.
Pak Kadir (kanan) dibantu isterinya sepanjang menjalankan perniagaannya. — Agensi
Menurut isterinya, Sri yang turut melayan pelanggan berkata, masakan paling digemari ramai pastinya adalah tongseng kambing.
Mereka juga menghidangkan menu tersebut bersama nasi putih dengan harga RM7.20 (RP28,000).
Kuahnya juga dimasak dengan pekat dan pedas tetapi tidak terlalu berat di tekak.
Menambahkan nanas juga menjadikan daging kambing yang dimasaknya tidak berbau hanyir.
Selain kambing, ayam juga menjadi pilihan pelanggan kerana ia dimasak sehingga empuk dan dagingnya yang tidak kering.
Teknik masakannya yang menggunakan arang sebagai dapur masak sekali gus menjadi kunci untuk mengekalkan kualiti rasanya.
"Saya pernah gantikan arang dengan dapur gas. Bila kira-kira lebih jimat, tetapi ada pelanggan kata rasa jadi lain.
"Selepas itu, saya kembali menggunakan arang," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram