
SPEKULASI tentang siapa yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan Vogue akhirnya terjawab selepas Anna Wintour mengumumkan penggantinya pada Selasa lalu.
Nama yang dipilih juga sememangnya tidak asing lagi dalam dunia fesyen, Chloe Malle, 39, kini dilantik sebagai Ketua Kandungan Editorial baharu bagi majalah tersebut.
Selain pernah mengendalikan temuramah muka depan Vogue bersama bekas wartawan Amerika Syarikat (AS), Lauren Sanchez sempena perkahwinannya dengan pengasas Amazon, Jeff Bezos di Itali, terdapat beberapa lagi fakta menarik tentang anak perempuan kepada aktres, Candice Bergen itu.
Chloe yang berkhidmat di Vogue lebih lima tahun. — Agensi
1. Separuh hidupnya dihabiskan di Vogue
Selepas dua tahun bersama The New York Observer pada 2009 hingga 2011, Chloe membina hampir keseluruhan kerjayanya di Vogue.
Beliau juga menyertai majalah itu pada 2011 sebagai penyunting media sosial sebelum menjadi penyumbang tetap pada 2016 hingga 2023.
Chloe kemudiannya dilantik sebagai penyunting Vogue.com pada penghujung 2023 dan terlibat dalam menyunting beberapa keluaran berkaitan.
"Sepanjang kerjaya saya, saya telah berada di Vogue, bekerja dalam pelbagai peranan merentasi semua platform daripada cetakan, digital, audio, video, acara dan media sosial.
"Saya sangat menyukai jawatan ini, kandungan yang kami hasilkan dan para editor yang menciptanya.
"Vogue sudah membentuk siapa diri saya, kini saya teruja dengan peluang untuk membentuk Vogue pula," katanya.
Anna (kiri) memilih Chloe sebagai ketua kandungan editorial baharu Vogue. — Agensi
2. Mengikut jejak langkah Anna Wintour pada usia hampir sama
Menariknya, Chloe dilantik hampir pada usia yang sama ketika Anna mula memegang jawatan penting di Vogue.
Anna ketika itu berusia 38 tahun sewaktu mengeluarkan edisi pertamanya, manakala Chloe pula kini 39 tahun.
"Fesyen dan media sedang berkembang pada radar yang sangat pantas dan saya berasa amat teruja serta kagum dapat menjadi sebahagian daripadanya.
"Saya juga berasa sangat bertuah kerana masih mempunyai Anna hanya beberapa langkah dari pejabat saya sebagai mentor," jelasnya.
Chloe bersama ibunya, Candice Bergen (kanan). — Agensi
3. Menggelar diri sebagai 'Nepo baby'
Dibesarkan oleh ibu bapa yang terkenal, Chloe pastinya tidak akan terlepas daripada dilabel sebagai Nepo baby.
"Tidak dinafikan saya dapat 100 peratus manfaat daripada keistimewaan yang saya miliki sejak kecil.
"Tetapi, saya akui ia sentiasa mendorong saya untuk bekerja lebih keras.
"Sepanjang hidup saya, membuktikan bahawa saya adalah lebih daripada sekadar anak kepada Candice Bergen atau seseorang yang membesar di Beverly Hills, AS menjadi matlamat saya," ujarnya.
Beliau turut menggelarkan dirinya sebagai bayi Nepo kerana memiliki kelebihan tersebut.
Ia merupakan istilah popular merujuk pada individu yang kariernya diuntungkan atau sukses besar karena hubungan dan pengaruh orang tua mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram